NILAI, 1 Sept 2014 – Hari Pendaftaran Pelajar Baru Sarjana Muda USIM sesi 2014/2015 pada tahun ini sedikit berbeza apabila para pelajar mendaftar masuk kolej kediaman dahulu diikuti pendaftaran universiti dan kursus keeseokan harinya iaitu 2 September.
Tiga lokasi utama pendaftaran kolej kediaman ialah Kolej Kediaman 1, Kolej Kediaman Sutera Indah, dan Kolej Kediaman Nilam Court mula meriah dengan kehadiran pelajar bersama keluarga masing-masing mulai 8.30 pagi hingga 4.30 petang.
USIM menerima sebanyak 24,867 permohonan pelajar untuk melanjutkan pengajian di USIM. Daripada jumlah tersebut hanya 2,493 sahaja ditawarkan untuk melanjutkan pengajian mereka di USIM.
Menurut Encik Hammad Farhi Mohd Saudi, Ketua Bahagian Pengurusan Akademik, sehingga 2 September 2014, seramai 2134 telah mendaftar dengan 614 lelaki dan 1520 perempuan. Jumlah ini tidak termasuk kemasukan pelajar rayuan yang akan dibuka pendaftaran pada 9 sehingga 12 September ini. Pelajar rayuan akan mendaftar masuk ke USIM pada 17 September 2014 dan jumlah pelajar dijangka meningkat.
Program Quran dan Sunnah mencatatkan kemasukan pelajar yang tertinggi berbanding program yang lain. Ini menunjukkan pelajar aliran agama amat yakin untuk meneruskan pengajian di USIM, sesuai dengan misi USIM iaitu bertekad menjadi sebuah institusi ilmu terkehadapan yang berteraskan pengajian Islam yang berpaksikan integrasi ilmu Naqli (wahyu) dan Aqli (rasional).
Turut hadir pada sesi pendaftaran pelajar YBhg. Prof Dato’Dr Musa Ahmad, Naib Canselor USIM, dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dato’ Mohamed Asin Dollah bagi menyaksikan proses pendaftaran berjalan lancar di samping turut beramah mesra dengan keluarga pelajar.
Disediakan oleh :
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204