NILAI 27 Mei 2023 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) komited dalam usaha mempromosikan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan menganjurkan Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2023 Peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bermula 26 sehingga 27 Mei 2023.

Dengan tema “Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi” karnival yang berlangsung selama dua hari ini dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang, Minggu Sains Negara mensasarkan kehadiran pengunjung seramai 2,000 orang yang terdiri dari pelbagai pemegang taruh seperti pelajar sekolah, belia kolej dan institusi pengajian tinggi, para guru, pemain industri serta orang awam di daerah Negeri Sembilan dan kawasan sekitarnya.

YB Chang Lih Kang dalam ucapannya berkata bahawa, pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) tidak terhad kepada pendidikan secara formal di dalam kelas atau bilik darjah sahaja. Oleh itu, aktiviti-aktiviti yang disediakan akan menggunapakai kaedah hands-on dan secara langsung daripada pengamal serta pakar STI. Melalui kaedah ini, pembelajaran berteraskan STI ini dapat disampaikan secara interaktif khususnya berkaitan pengaplikasian teknologi dalam kehidupan seharian.

Objektif utama penganjuran karnival ini adalah bagi merealisasikan manifestasi komitmen kerajaan negeri dalam membudayakan STI dalam kalangan masyarakat setempat. Ia juga memberi peluang kepada penggerak dan pengamal STI tempatan untuk mengetengahkan teknologi dan inovasi masing-masing untuk menarik minat khususnya golongan belia dalam bidang teknologi.

Pelbagai aktiviti dan program yang disediakan untuk para pengunjung antaranya adalah pameran reruai, STEM Workshop, Mini Planetarium, Science Monopoly, Chemistry & Biotech Spell-it-Right dan bermacam lagi.

Turut hadir ke majlis perasmian adalah YB Tuan Teo Kok Seong Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejateraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, dan Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Dato’ Dr. Muhammad Tauffik Mohd Noor.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan