NILAI, 9 Julai 2021- Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Pro-Canselor USIM telah berkenan untuk mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi (PPV, IPT) Mega USIM hari ini. Lawatan ini turut dihadiri Pendaftar USIM, Dato’ Muhammad Haizuan Rozali dengan diiringi oleh Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Profesor Dr. Muhammad Shamsir Mohd Aris merangkap Pengarah PPV IPT Mega USIM.

Meninjau pelaksanaan PPV IPT Mega USIM yang telah memulakan pengoperasiannya bermula 28 Jun yang lalu dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, COVID-19 Immunisation Task Force (CITF), Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, YAM Tunku Pro Canselor USIM turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas dan sukarelawan yang berkhidmat di PPV IPT Mega USIM di atas keprihatinan mereka dalam menyumbang masa dan tenaga sebagai ‘tulang belakang’ barisan hadapan negara.

Sejak dilancarkan, seramai 21,453 penerima vaksin telah mendapatkan dos suntikan vaksin mereka di PPV IPT Mega USIM. Pihak jawatankuasa induk PPV IPT Mega USIM menyasarkan keupayaan maksimum sebanyak 3000 dos sehari kepada warga yang layak dengan waktu operasi bermula jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari.

Dato’ Muhammad Haizuan Rozali ketika ditemui berkata, “Mewakili Pengurusan Universiti, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerja keras demi memastikan objektif penubuhan PPV IPT Mega USIM ini tercapai, terutamanya dalam  memastikan kadar pemberian dan penerimaan vaksin COVID-19 kepada warga Negeri Sembilan dipertingkatkan lebih-lebih lagi dalam menjayakan sasaran negara untuk mencapai tahap imuniti kelompok seperti diunjurkan Pelan Pemulihan Negara”.

Dalam memastikan pengoperasian PPV IPT Mega USIM kekal lancar, USIM turut mengalu-alukan sebarang bentuk penajaan baharu khususnya bagi membantu menampung keperluan pengurusan operasi di PPV IPT Mega USIM. individu/kumpulan/organisasi yang ingin memberikan sumbangan boleh menyalurkan dana tersebut melalui inisiatif sumbang amal yang digerakkan oleh Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM melalui pautan https://bit.ly/pragmatisamal atau menghubungi wakil PRAGMATIS di talian 014 – 400 4535 (En. Marwan Tahir) atau 019 – 274 7084 (Puan Alliza Ayob).

Sebelum mengakhiri lawatan, YAM Tunku Pro Canselor selaku Pengerusi Pemegang Amanah Yayasan Munarah yang merupakan sebuah yayasan kebajikan Keluarga Di-Raja Negeri Sembilan berkenan menyampaikan kurnia khas daripada Yayasan Munarah kepada para sukarelawan USIM sebagai tanda penghargaan.

Disediakan oleh:
Nor Fadzlina Azahari
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan