SHAH ALAM – Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nurul Syafiqkha Azman, 23, dinobatkan sebagai Kadet Terbaik Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) USIM pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Istiadat Pentauliahan Kor Sispa Peringkat Kebangsaan Kali ke-16 yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam pada 16 Ogos 2025 baru-baru ini.
Nurul Syafiqkha merupakan antara 918 pelajar ditauliahkan berpangkat Leftenan Muda (Pertahanan Awam). Seramai 24 pegawai mewakili Universiti Awam masing-masing menerima Anugerah Pegawai Kadet SISPA Terbaik.
Pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, yang berkenan menyempurnakan istiadat berkenaan.
Nurul Syafiqkha, penuntut tahun dua Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Perdagangan (Kepujian) di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), berkata beliau tidak menyangka dipilih menerima anugerah itu kerana persaingan yang tinggi dalam kalangan kadet lain.
“Saya sangat terharu kerana dapat berdiri di hadapan tetamu kehormat dan menerima tongkat daripada Tengku Permaisuri Selangor sendiri. Anugerah ini menjadi penghargaan bukan sahaja kepada diri saya, tetapi juga kepada seluruh pasukan Kor Sispa USIM,” katanya.
Beliau berkata cabaran utama sepanjang latihan ialah mengimbangi komitmen akademik, jadual latihan Kor Sispa yang padat serta masa bersama keluarga, namun berjaya diatasi melalui pengurusan masa yang berdisiplin.
“Penat itu hanya sementara, tetapi kejayaan yang dicapai akan menjadi kenangan sepanjang hayat. Kalau rasa lelah, berehatlah seketika, tetapi jangan berhenti berusaha,” katanya lagi.
Nurul yang berasal dari Putrajaya turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga, rakan-rakan serta pensyarah yang banyak memberi sokongan moral dan motivasi sehingga membolehkannya mencapai kejayaan tersebut.
Menurutnya lagi, persahabatan dan ikatan ukhuwah yang terbina bersama rakan seperjuangan selain didikan disiplin, semangat kepimpinan dan keyakinan diri merupakan pengalaman paling berharga sepanjang menyertai Kor Sispa ini.
“Kor Sispa membentuk mahasiswa bukan sahaja untuk cemerlang di universiti, tetapi juga melatih mereka menjadi lebih bersedia berbakti kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Nurul yang bercita-cita menjadi pendidik berharap pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk tidak berputus asa dalam mengejar kejayaan akademik dan kokurikulum.