Nilai, 2 November 2009 – Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah bersetuju melantik Pemangku Pendaftar En. Muhammad Haizuan Rozali sebagai Pendaftar yang baru bagi universiti itu. Pelantikan En. Muhammad Haizuan ke jawatan Pendaftar berkuat kuasa mulai 1 November 2009.

Pelantikan itu juga adalah berdasarkan pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan pengurusan akademik serta kecemerlangan kerjaya yang dicapai oleh beliau.

Beliau memulakan kerjaya di USIM bersama kumpulan awal yang mengerakkan penubuhan USIM pada tahun 2000 dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dalam Psikologi Pembangunan Manusia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pada tahun 2002 beliau dilantik sebagai Timbalan Pendaftar di Bahagian Hal Ehwal Pelajar sehingga tahun 2008. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Pendaftar Kanan dan ditempatkan di Jabatan Pendaftar. Pada 6 Jun 2009 beliau telah dilantik sebagai Pemangku Pendaftar.

Sebelum memulakan kerjaya di USIM, beliau bertugas sebagai Perundingcara Pelajar di Unit Rundingcara Pelajar Bahagian Hal Ehwal Pelajar UKM dari tahun 1994 sehingga beliau menyertai USIM pada tahun 2000.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan USIM
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028