KUALA TERENGGANU – Kumpulan nasyid Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Intracksee, berjaya mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai Naib Johan Kategori Nasyid dalam pertandingan Mega Ummah Influencer (MU’MIN) Peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2026 yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak dari 21 hingga 25 Ogos 2026.

Pegawai Pentadbiran Pusat Kebudayaan USIM merangkap pegawai pengiring, Danish Zhafran bin Onn, menyatakan bahawa pencapaian ini membuktikan keupayaan mahasiswa USIM dalam menyerlahkan potensi bakat dan kreativiti di peringkat IPT kebangsaan, di samping menyokong agenda pembangunan modal insan yang menyeluruh.

“Pihak Pusat Kebudayaan melihat pencapaian Intracksee kali ini sebagai satu perkembangan yang positif. Penyertaan mereka memberi peluang kepada mahasiswa USIM untuk menunjukkan bakat, kreativiti dan kemampuan mereka dalam bidang seni persembahan di peringkat IPT. Pada masa yang sama, ia turut membantu memperkenalkan USIM sebagai universiti yang menyokong pembangunan bakat mahasiswa secara menyeluruh,” katanya.

Kejayaan tersebut dicapai menerusi persiapan rapi yang melibatkan pemantauan vokal, persediaan kostum, khidmat nasihat, serta sokongan logistik daripada Pusat Kebudayaan USIM bersama bimbingan jurulatih dan alumni, selain dorongan padu warga Angkatan Seni Budaya sepanjang pertandingan berlangsung.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Intracksee, Muhammad Mifzal bin Muhammad Faruq, menzahirkan rasa syukur atas kejayaan tersebut walaupun berdepan kekangan masa persiapan yang singkat dan persaingan sengit daripada pasukan-pasukan terbaik IPT lain.

“Kejayaan ini bukan sekadar tentang kedudukan Naib Johan, tetapi satu penghargaan terhadap usaha seluruh ahli pasukan dan juga sokongan padu daripada Pusat Kebudayaan USIM. Insya-Allah, kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk Intracksee terus melangkah lebih jauh, memperbaiki kualiti persembahan, serta menghasilkan karya yang memberi mesej positif kepada masyarakat selaras dengan aspirasi universiti sebagai peneraju seni berbudaya,” jelas beliau.

Pencapaian ini amat bermakna kerana pertandingan Mega Ummah Influencer pada tahun ini merupakan edisi pertama yang diperluaskan ke peringkat kebangsaan melibatkan persaingan antara pelbagai IPT, selepas penganjuran sulungnya pada tahun lalu hanya tertumpu di peringkat dalaman UniSZA. Kejayaan ini membuktikan keupayaan wakil USIM untuk bersaing secara kompetitif dan menyerlah di pentas luar.

Oleh : Nur Khadija Sulaiman dan Wan Najian Putri Wan Mohd Lotpi