KOTA BHARU – Seramai 13 mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyertai Kelantan Future Leaders Academy (KFLA) 2026 yang berlangsung dari 16 hingga 19 Ogos 2026 di The Rhu Beach Resort, sekali gus menjadi kumpulan mahasiswa daripada sebuah universiti dengan jumlah penyertaan tertinggi dalam akademi kepimpinan berkenaan.

Penyertaan mahasiswa USIM daripada pelbagai latar belakang dan bidang pengajian itu memberi ruang kepada mereka mengasah kemahiran kepimpinan, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah melalui tugasan serta pengalaman lapangan yang menghubungkan pembelajaran teori dengan situasi sebenar.

Salah seorang peserta, Muhammad Danish bin Suhailey, yang turut diberi amanah sebagai Penghulu KFLA 2026 berkata, program tersebut memberi peluang kepadanya mengaplikasikan pengetahuan kepimpinan yang dipelajari di kampus dalam konteks praktikal.

“Sewaktu di kampus USIM, saya mempelajari Critical Thinking dan Problem Solving secara teori. Tetapi di KFLA, saya berpeluang mengimplementasikan ilmu tersebut secara praktikal melalui tugasan dan cabaran yang diberikan,” katanya.

Antara pengalaman yang memberi kesan kepada peserta ialah Kajian Lapangan Komuniti bersama komuniti Siam di Wat Prachumchonnawa Silaloy, Tumpat yang membolehkan mereka mendekati masyarakat serta memahami realiti komuniti dengan lebih dekat.

Menurut Muhammad Danish, pengalaman berkenaan turut mengubah perspektifnya terhadap makna kepimpinan yang tidak seharusnya terhad kepada kemampuan berkomunikasi atau menyampaikan idea, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan yang memberi manfaat.

“Saya belajar bahawa seorang pemimpin bukan hanya perlu pandai bercakap di khalayak ramai, tetapi juga perlu tahu bagaimana untuk execute dan mengimplementasikan sesuatu idea. Kepimpinan bukan sekadar apa yang kita katakan, tetapi sejauh mana kita mampu menterjemahkannya kepada tindakan yang memberi manfaat,” katanya.

KFLA 2026 menghimpunkan peserta daripada pelbagai universiti dan bidang pengajian dengan kesemua peserta merupakan anak Kelantan. Program anjuran Kelantan Future Leaders Institute itu mengangkat tema “Lead Loud, Serve Proud” dengan memberi penekanan kepada dua teras utama, iaitu Alqawiy dan AlAmin sebagai asas pembentukan pemimpin muda yang kuat, berintegriti dan berjiwa khidmat.

Pendedahan menerusi KFLA 2026 turut memberi peluang kepada mahasiswa USIM memperluas pengalaman kepimpinan di luar kampus, selain berinteraksi dengan mahasiswa daripada institusi pengajian tinggi lain serta masyarakat setempat.

Penglibatan mahasiswa USIM dalam program tersebut bukan sahaja mencerminkan penyertaan aktif mereka dalam agenda pembangunan kepimpinan belia, malah membuka ruang untuk membawa nama universiti ke peringkat lebih luas melalui idea, pengalaman dan sumbangan kepada komuniti.

Oleh: Muhammad Fahim Fitri Ruslan