OSAKA – Seramai 23 pelajar Tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian, Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyertai Global Islamic Students Outreach (GISO) 2026: Kyosaka Odyssey dari 10 hingga 19 Ogos 2026 baru-baru ini di Kyoto dan Osaka, Jepun bagi memperluas pendedahan terhadap perkembangan Islam serta kehidupan komuniti Muslim di negara berkenaan.
Program itu turut memberi peluang kepada mahasiswa memahami cabaran komuniti Muslim dalam mengekalkan identiti Islam dalam persekitaran masyarakat bukan Islam, di samping memperkukuh pertukaran ilmu, budaya dan pengalaman bersama komuniti setempat.
Ketua Unit Perhubungan dan Penajaan, GISO 2026: Kyosaka Odyssey, Ahmad Amir Rashid berkata, program berkenaan memberi pengalaman yang melangkaui pendedahan terhadap budaya dan masyarakat Jepun apabila mahasiswa turut berpeluang mengaplikasikan ilmu serta memahami peranan Muslim profesional dalam masyarakat global.
“Pengalaman berinteraksi dengan komuniti serta institusi di Jepun menjadi satu platform penting dalam membentuk pelajar yang lebih yakin, berfikiran terbuka dan mampu membawa nilai Islam serta identiti Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Antara pengisian utama ialah program Culture & Student Life in Japan and Malaysia yang dilaksanakan dengan kerjasama Malaysian Students’ Association Japan (MSAJ).
Pengisian tersebut memberi ruang kepada peserta berkongsi pengalaman mengenai kehidupan sebagai mahasiswa di Malaysia dan Jepun, selain bertukar pandangan berkaitan sistem akademik serta bidang perakaunan.
Menurut Ahmad Amir, pengalaman sepanjang program turut membantu mahasiswa menghubungkan pengetahuan akademik dengan situasi sebenar dalam masyarakat, sekali gus melatih mereka berfikir secara lebih kritis dan memahami permasalahan daripada perspektif yang lebih luas.
“Secara keseluruhannya, pelaksanaan GISO 2026: Kyosaka Odyssey membuka ruang kepada mahasiswa menghubungkan ilmu akademik dengan pengalaman sebenar dalam masyarakat serta memperkukuh kemahiran komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan interaksi silang budaya,” katanya.
Pendedahan melalui program antarabangsa itu juga memberi peluang kepada mahasiswa membina keyakinan berinteraksi dalam persekitaran yang berbeza dari segi budaya, bahasa dan latar masyarakat.
Selain aspek pembangunan mahasiswa, program ini berpotensi memperluas jaringan akademik serta kerjasama antara USIM dengan institusi dan komuniti di Jepun melalui pertukaran ilmu, budaya dan pengalaman.
Penyertaan dalam GISO 2026: Kyosaka Odyssey sekali gus menyokong usaha USIM melahirkan graduan yang bukan sahaja mempunyai penguasaan akademik, tetapi turut memiliki kemahiran komunikasi, kepimpinan, keupayaan menyesuaikan diri serta kefahaman terhadap peranan Muslim profesional dalam konteks masyarakat global.
Oleh: Iqbal Ilyas Mohd Nordin

