NILAI, 29 Mei 2014 –  Sebanyak 88 penyertaan pelajar terserlah dalam Pertandingan Rekacipta dan Inovasi Pelajar atau dikenali sebagai (i-REKA)  yang  diadakan di Stadium Tertutup Nilai pada 28 Mei 2014.

Pemenang Utama kategori pra siswazah telah dimenangi oleh kumpulan The Instinct yang terdiri dari 6 orang ahli kumpulan dengan pertaruhkan produk Skinana Krunchi dibawah bimbingan pensyarah Prof Madya Dr Alina Bt Abdul Rahim. Skinana Krunchi adalah sejenis makanan ringan (kerepek) yang diperbuat daripada kulit pisang. Daripada sesuatu yang dianggap sisa atau bahan yang tidak digunakan, kulit pisang kaya dengan serat pemakanan, protein, asid amino, asid lemak poli tak tepu dan kalium. Ia juga mengandungi sebatian antioksidan termasuk polifenol, catecholamines dan karotenoid.

Manakala kategori pasca siswazah dimenangi oleh kumpulan Tenrm dengan membawa produk TenRM. TenRM, atau www.tenrm.com adalah inovasi oleh  saudara Nader Yahya Alkeinay berasal dari Yemen dan dibimbing oleh pensyarah Prof Madya Dr Norita Md Norwawi. Ia merupakan laman web pasaran dalam talian Malaysia yang menawarkan tugas-tugas dan perkhidmatan  bermula dengan kos sebanyak RM10. Sebaik sahaja mencapai jualan ke 10 dengan maklum balas positif 90%, secara automatik dipindahkan ke tahap 2, dimana  layak untuk memilih harga untuk perkhidmatan dari RM10 – RM200.    Kedua-dua pemenang ini adalah merupakan pelajar dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST).

i-REKA sebelum ini dikenali sebagai Pertandingan Inovasi Pelajar (SIC).  Ia  adalah anjuran Urusetia Rekacipta dan Inovasi, Universiti Sains Islam Malaysia (UREKA USIM), Fakulti Sains dan Teknologi (FST), dan Fakulti Pengurusan dan Kepimpinan (FKP) dengan kerjasama Pusat Pengurusan & Penyelidikan (PPP) dan bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Pengarah program saudara Muhammad Nor Amin Jamaluddin berkata, objektif utama adalah bagi menyediakan platform kepada pelajar untuk menunjukkan potensi sebenar mereka serta menggalakkan kreativiti dan inovasi di kalangan pelajar bagi meningkatkan prestasi kualiti pelajar ke arah menyumbang kepada pembangunan global ummah. “Bermula dengan SIC pada tahun 2011, sambutan dan penyertaan yang menggalakkan dari mahasiswa USIM, buat julung kalinya pernyertaan  kali ini dibuka kepada pelajar luar merangkumi IPTA/IPTS bagi memeriahkan dan memberi saingan dalam bidang inovasi ini buat pelajar khususnya kepada institusi-institusi pengajian Islam”.

“Bagi menyuburkan lagi budaya inovasi dalam kalangan pelajar, program-program seumpama ini sewajarnya lebih banyak diadakan supaya dapat mencungkil bakat dan melahirkan lebih ramai generasi Al-Abrar yang sememangnya menjadi matlamat dan visi USIM”, jelas Amin sebagai pengarah program kali ini.

Majlis perasmian penutup telah dirasmikan oleh YBhg Prof Dato’ Dr Asma Ismail, Naib Canselor USIM. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) YBhg Prof Dato Dr Musa Ahmad.

Disediakan oleh:

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)