NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian negara dengan memeterai  Perjanjian Pembekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan GSPARX Sdn. Bhd sekali gus melakar sejarah baharu dalam usaha peralihan tenaga bersih di institusi pengajian tinggi.

Melalui kerjasama ini, USIM bakal melaksanakan pemasangan sistem solar berkapasiti 5.5MWp yang dijangka memberikan penjimatan bil elektrik sehingga RM 350,000 untuk tahun pertama. Langkah strategik ini menyumbang secara langsung kepada pengurangan jejak karbon (carbon footprint) universiti.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani menyatakan bahawa projek ini bukan sekadar pelaburan kepada infrastruktur kampus, tetapi pelaburan terhadap masa depan lestari negara. Ia juga membuka ruang kepada inovasi, penyelidikan dan pembelajaran dalam bidang tenaga boleh diperbaharui di USIM.

”Projek ini unik kerana dilaksanakan secara Zero CAPEX Solar Solution, iaitu tanpa sebarang kos awal dari pihak universiti. Sebanyak 80% sistem solar akan dipasang di kawasan terbuka kampus seperti parkir, manakala 20% lagi di atas bumbung bangunan”, ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Bahagian Retail TNB, Kamal Arifin A. Rahman, menerangkan bahawa pemasangan panel solar ini berpotensi mengurangkan sebanyak 3,696 tan metrik karbon dioksida setiap tahun.

“TNB, melalui anak syarikat milik penuhnya, GSPARX, komited sepenuhnya untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek yang dijangka siap dalam tempoh 12 bulan. Usaha ini juga merupakan sebahagian daripada pelan peralihan tenaga TNB bagi menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk mencapai sasaran 70% kapasiti tenaga boleh baharu dan sifar bersih karbon menjelang 2050,” jelasnya.

Majlis turut diserikan dengan gimik pelancaran sebagai simbolik permulaan rasmi projek, menandakan langkah besar USIM dalam mendepani cabaran perubahan iklim dan mendukung aspirasi Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022–2040 serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Dengan kolaborasi ini, USIM bukan sahaja mencatat satu lagi kejayaan strategik, malah terus memacu peranannya sebagai peneraju universiti Islam mampan dan berdaya saing di persada global.

Majlis penuh bermakna ini berlangsung di Rajah Brooke Ballroom, Nilai Springs Resort Hotel. Turut hadir barisan pengurusan tertinggi TNB dan GSPARX.