MOSCOW – Staf Akademik Pusat Tamhidi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Afiq Padeli, menerima undangan sebagai salah seorang pembentang pada persidangan antarabangsa anjuran Pusat ASEAN, Moscow State Institute of International Relations (MGIMO University), Rusia pada 15 Oktober 2026.

Persidangan bertajuk “Russia and ASEAN in the Asia-Pacific Region: Dynamics of Cooperation, Regional Processes and Global Context” berlangsung dari 15 hingga 17 Oktober 2026 di kampus MGIMO, Moscow, bersempena ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik Rusia-ASEAN dan ulang tahun ke-30 hubungan rakan dialog antara kedua-dua pihak.

Penglibatan Mohamad Afiq dalam persidangan berkenaan membuka ruang kepada perkongsian kepakaran akademik di peringkat antarabangsa, selain memperluas jaringan penyelidikan dalam bidang hubungan antarabangsa, undang-undang dan diplomasi serantau.

Persidangan tersebut turut dihadiri Rektor MGIMO, Dr. Anatoly Torkunov, Setiausaha Agung ASEAN, TYT Dr. Kao Kim Hourn, serta diplomat dari negara anggota ASEAN dan Persekutuan Rusia.

Pelbagai sesi plenari dan meja bulat diadakan dengan perbincangan meliputi cabaran dan peluang kerjasama geopolitik, sosioekonomi serta perundangan, termasuk keselamatan ekonomi digital dan siber, pengharmonian sistem undang-undang serta peranan ASEAN dalam persekitaran global yang dinamik.

Selain sesi pembentangan, persidangan turut menyediakan ruang perbincangan berkaitan penerbitan prosiding penyelidikan, sekali gus membuka peluang kepada penyelidik USIM memperluas jaringan kerjasama dan liputan penerbitan di peringkat antarabangsa.

Penyertaan tersebut turut memperkukuh usaha pengantarabangsaan USIM melalui penglibatan warga akademik dalam platform ilmiah global serta membuka peluang kepada kerjasama penyelidikan dan akademik pada masa hadapan.

Oleh: Mohamad Afiq Padeli