NILAI  – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap ancaman keselamatan siber menerusi penganjuran Information Security and Assurance Seminar 2026 (ISAS’26) yang berlangsung selama dua hari pada 16 dan 17 Oktober 2026.

Penganjuran kali ke-16 sejak 2010 itu dianjurkan oleh mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat), dengan menggabungkan forum dalam talian dan seminar bersemuka bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI), teknologi deepfake dan trend jenayah siber.

Program ini turut menjadi platform perkongsian ilmu antara akademia dan industri, selain memberi peluang kepada mahasiswa mengasah kemahiran kepimpinan serta memperkukuh pendekatan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dalam menangani isu teknologi semasa.

Penasihat program merangkap Pengarah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah berkata, perkembangan AI memerlukan masyarakat meningkatkan tahap kewaspadaan terhadap manipulasi teknologi yang semakin kompleks.

“Kemajuan teknologi kecerdasan buatan kini menjadi pedang bermata dua. Manipulasi teknologi deepfake bukan lagi sekadar gurauan digital, sebaliknya telah berevolusi menjadi instrumen jenayah sintetik yang mampu menjejaskan kestabilan organisasi dan keharmonian masyarakat sekiranya kita terus leka,” katanya ketika merasmikan program.

Pengisian ISAS’26 dimulakan dengan forum dalam talian bertajuk “Wajah Palsu, Impak Nyata: Fitnah Digital dalam Era Kecerdasan Buatan” pada 16 Oktober menerusi Microsoft Teams yang menghimpunkan 405 peserta terdiri daripada warga USIM dan masyarakat luar.

Forum berkenaan menampilkan Ts. Ir. Dr. Nordin Ramli, Ketua Unit Perniagaan Strategik Kecerdasan Kuantum, MIMOS Berhad dan Dr. Muhammad Safwan Harun, Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Sesi yang dikendalikan Wan Norhuda Awfa binti Sha’rani itu mengupas ancaman deepfake, fitnah digital dan manipulasi maklumat dari perspektif teknologi serta prinsip Islam seperti tabayyun, fiqh dan Maqasid Syariah.

Forum tersebut turut dilengkapi sesi soal jawab dan kuiz interaktif bagi membantu peserta memahami isu penyalahgunaan AI serta cabaran yang timbul dalam persekitaran digital.

Program diteruskan pada 17 Oktober menerusi seminar bersemuka bertemakan “Synthetic Criminals: AI Deepfakes and Emerging Cybercrime Trends” di Dewan Kuliah Pusat 4, USIM dengan penyertaan 200 peserta.

Seminar berkenaan menampilkan tiga penceramah daripada bidang akademik dan industri iaitu Prof. Dr. Noor Zaman Jhanji, Profesor dalam bidang Sains Komputer, Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber di Sunway University; Ts. Norzakimi Zahari, Ketua Pegawai Teknologi Nexagate Malaysia; serta Puan A’in Hazwani Ahmad Rizal, alumni USIM yang merupakan Jurulatih Teknikal Keselamatan Siber di BlackBerry, Cyberjaya.

Perkongsian tersebut memberikan pendedahan kepada mahasiswa mengenai perkembangan teknologi AI, ancaman deepfake dan cabaran keselamatan siber semasa berdasarkan kepakaran akademik serta pengalaman industri.

Keunikan ISAS’26 turut terletak pada pendekatan yang mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli melalui perbincangan mengenai etika serta implikasi penyalahgunaan AI dalam forum, sebelum diteruskan dengan pendedahan teknikal dan perkembangan ancaman siber menerusi seminar bersama pakar industri.

Penganjuran ini bukan sahaja memperluas perkongsian ilmu kepada mahasiswa dan masyarakat, malah memberi pengalaman praktikal kepada jawatankuasa pelaksana dalam aspek kepimpinan, pengurusan program, komunikasi dan kerjasama berpasukan.

Menerusi ISAS’26, USIM terus memperlihatkan komitmen dalam memperkasa literasi keselamatan siber serta memupuk penggunaan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab, sekali gus menyumbang kepada pembentukan graduan dan masyarakat digital yang berpengetahuan, berintegriti serta bersedia menghadapi cabaran teknologi masa hadapan.

Oleh: Shazwana