MAKASSAR – Cabaran kesihatan global dan perkembangan pesat teknologi perubatan menjadi antara fokus utama The 1st International Conference on Health, Science and Technology (ICoHST) 2026 yang julung kali dianjurkan hasil kolaborasi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universitas Muslim Indonesia (UMI) di Kota Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia.
Persidangan antarabangsa tersebut menghimpunkan sekitar 500 peserta terdiri daripada pendidik, penyelidik, pakar perubatan dan mahasiswa dari Malaysia dan Indonesia bagi membincangkan perkembangan semasa dalam bidang bioteknologi, kecerdasan buatan (AI) perubatan, keselamatan makanan serta kelestarian alam sekitar.
Penganjuran ICoHST 2026 berlangsung pada 17 hingga 18 Oktober baru-baru ini melibatkan kerjasama Pusat Kemajuan Profesional dan Pendidikan Berterusan (USIM PACE), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) serta Fakulti Sains dan Teknologi (FST) USIM bersama UMI sebagai universiti tuan rumah.
Perasmian persidangan disempurnakan oleh Rektor UMI, Prof. Dr. H. Hambali Thalib yang menegaskan kepentingan kerjasama rentas sempadan dalam menghadapi perubahan pesat bidang kesihatan dan teknologi.
“Perubahan wajah dunia kesihatan bergerak begitu pantas tanpa memberi ruang untuk kita berhenti belajar. Oleh itu, kita amat perlu berkongsi perkembangan antara Indonesia dan Malaysia, baik dari segi dasar awam, sistem kesihatan, mahupun teknologi perubatan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah USIM PACE, Prof. Madya Dr. Mohd Azmir Mohd Nizah berkata, kerjasama rentas disiplin antara USIM dan UMI penting dalam mempercepatkan pemindahan ilmu serta membina keupayaan bersama dalam bidang kesihatan dan teknologi.
“Sinergi merentas disiplin bersama UMI ini amat penting untuk mempercepatkan pemindahan ilmu dan membina keupayaan (co-capacity building), memastikan apa jua teknologi yang dibangunkan kelak kekal responsif kepada etika masyarakat serta mendasari kesejahteraan umat,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran ICoHST 2026 turut menjadi sebahagian daripada usaha jangka panjang USIM PACE dalam memperluas jaringan akademik dan membuka peluang kerjasama program di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, kedudukan Makassar sebagai antara hab pendidikan, kesihatan dan ekonomi di Indonesia Timur turut memberikan ruang kepada USIM memperluas jaringan serta memperkenalkan kepakaran dan penawaran akademiknya di rantau berkenaan.
Persidangan tersebut turut menjadi platform kepada peserta untuk berkongsi hasil penyelidikan dan perkembangan terkini dalam bidang kesihatan, sains serta teknologi menerusi sesi simposium dan sidang pleno (plenary).
Kesemua kertas kerja penuh yang dibentangkan sepanjang persidangan akan diterbitkan dalam bentuk buku ilmiah di bawah seliaan FPSK dan FST USIM sebagai usaha memastikan hasil perkongsian ilmu dapat dimanfaatkan secara berterusan selepas persidangan.
Penganjuran ICoHST 2026 sekali gus memperkukuh jaringan akademik Malaysia-Indonesia serta membuka ruang kepada kerjasama lebih luas dalam bidang penyelidikan, pembangunan teknologi dan pemindahan ilmu demi manfaat masyarakat.
Oleh: Mohd Akashah Abd Rashid