NILAI  – Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Sesi Akademik 2026/2027 mencatat sejarah apabila 98.14 peratus pelajar keluar mengundi, sekali gus merekodkan peratusan pengundian tertinggi sejak penubuhan universiti.

Peratusan tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 96.97 peratus pada tahun sebelumnya, dengan proses pengundian berlangsung secara hibrid menerusi sistem e-Undi di laman sesawang i-Student serta pengundian secara fizikal di Bilik Seminar Ibn Abbas, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS).

Proses pengundian berlangsung pada semalam 27 Oktober dari jam 8.30 pagi hingga 8.00 malam dengan sokongan teknikal daripada Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) menerusi sistem e-Undi USIM yang dipertingkatkan.

Sistem tersebut turut menyediakan sehingga lima kali percubaan pengundian bagi setiap pengundi bagi mengurangkan kemungkinan undi rosak akibat masalah capaian internet atau kekangan masa ketika proses pengundian.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) 2026, Muhammad Azfar Arsyad Zainuddin, 22, pelajar Tahun 4, Fakulti Sains dan Teknologi (FST), berkata pencapaian tersebut merupakan hasil kerjasama dan komitmen semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan pemilihan.

“Selain mengemaskini data pelajar yang belum mengundi, JPMPP turut mengadakan perarakan selama dua hari di sekitar kampus bagi menggalakkan mahasiswa menunaikan tanggungjawab untuk keluar mengundi,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pegawai Pusat Hal Ehwal Pelajar (PHEP), SDEC, keselamatan, Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) serta jawatankuasa penyelaras yang membantu menjayakan proses pemilihan.

“Kami amat menghargai kerjasama dan komitmen semua pihak yang terlibat dalam memastikan perjalanan pemilihan berjalan lancar serta sasaran peratusan keluar mengundi dapat dicapai,” katanya.

Pemilihan MPP kali ini menyaksikan persaingan melibatkan 63 calon, terdiri daripada 24 calon kerusi umum dan 39 calon kerusi fakulti yang bertanding bagi sembilan kerusi umum dan 18 kerusi fakulti.

Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) mencatat jumlah pencalonan tertinggi dengan 15 calon, diikuti Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) serta Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) masing-masing sembilan calon.

 

Turut bertanding ialah tujuh calon dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), masing-masing lima calon dari Fakulti Pergigian (FPg), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) serta Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), empat calon dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dan tiga calon dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK).

Keputusan akhir pengundian menyaksikan Nur ‘Aisyah Rosli dari FEM memperoleh undi tertinggi dengan 7,800 undi, diikuti Siti Masrurah Dahli dari FKP dengan 7,686 undi.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, menzahirkan penghargaan kepada JPMPP, SDEC, PHEP serta semua jawatankuasa pelaksana atas kerjasama dalam menjayakan proses pemilihan.

Beliau turut mengingatkan calon yang berjaya memenangi kerusi umum dan fakulti supaya melihat kemenangan tersebut sebagai amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

“Ini adalah amanah, bukan keistimewaan. Ini adalah satu amanah yang kamu akan dipertanggungjawabkan selama satu tahun. Dan amanah ini bukan setakat di sini, tetapi di akhirat nanti akan ditanya tentang amanah ini. Menjadi MPP merupakan platform kamu untuk belajar memikul amanah dan tanggungjawab dengan baik, beradab dan berakhlak,” katanya ketika mengumumkan keputusan pemenang kerusi umum dan fakulti.

Rekod 98.14 peratus keluar mengundi mencerminkan penglibatan aktif mahasiswa dalam proses pemilihan wakil mereka, di samping memperlihatkan peranan JPMPP dalam menggerakkan penyertaan mahasiswa menerusi pendekatan pengundian yang lebih mudah dan inklusif.

Oleh: Iqbal Ilyas Mohd Nordin, Aina Farzana Azrul Anuar dan Nur Khadija Sulaiman