NIBONG TEBAL – Ekosistem paya bakau berpotensi menjadi sumber ekonomi komuniti setempat apabila digabungkan dengan pengetahuan tradisional, kepakaran akademik dan kemahiran digital menerusi Program Pemerkasaan Komuniti dan Kelestarian Alam: Youth Guardians of the Mangrove – Reviving Food Heritage, Safeguarding Biodiversity (Wira Bakau 2026).

Program selama enam bulan bermula Mei lalu itu diterajui Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) di bawah payung kumpulan advokasi STEM, Dr. Planet: Guardians of Planetary Health.

Inisiatif berkenaan menghimpunkan kepakaran akademik daripada FPSK USIM bersama rakan kolaborasi dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Fakulti Pergigian Universiti Teknologi MARA (UiTM), Pusat Pengajian Teknologi Industri Universiti Sains Malaysia (USM) serta Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Nuruliza Roslan berkata, program yang melibatkan 38 peserta, majoritinya golongan belia, memberi penekanan kepada pemanfaatan ekosistem bakau melalui pendekatan ilmu dan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

“Program ini dirangka berteraskan tiga objektif utama iaitu mendedahkan komuniti kepada khasiat pemakanan ekosistem bakau, memperkasa kemahiran digital dan inovasi masakan dalam kalangan belia dan wanita, serta membangunkan modal insan menerusi pembelajaran berasaskan pengalaman,” katanya.

Majlis penutupan program yang berlangsung pada 18 Oktober 2026 baru-baru ini di Dewan Pendidikan Paya Bakau Komuniti itu disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP), Tan Sri Khalid Ramli.

Dalam ucapannya, Tan Sri Khalid memuji pendekatan program yang menggabungkan ilmu tradisional masyarakat dengan kepakaran akademik serta kemahiran digital generasi muda.

Beliau turut menyifatkan penggunaan media sosial seperti TikTok bagi mempromosikan warisan dan keunikan bakau sebagai pendekatan yang relevan dalam memperkasa ekonomi komuniti serta sektor pelancongan.

Program Wira Bakau 2026 mendapat pembiayaan melalui geran Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia serta sokongan dana MPBPP dan rakan kolaborasi komuniti, Persatuan Kebajikan Nelayan-Nelayan Pantai Pulau Pinang atau Penang Inshore Fisherman Welfare Association (PIFWA).

Antara pengisian yang dilaksanakan termasuk aktiviti berkaitan pemakanan dan hasil ekosistem bakau, penghasilan kandungan digital serta inovasi masakan yang melibatkan komuniti setempat, khususnya golongan belia dan wanita.

Majlis penutupan turut menampilkan reruai pameran dan jualan produk komuniti oleh PIFWANITA serta pameran hasil program oleh peserta Wira Bakau 2026.

Selain itu, sesi penyampaian hadiah bagi pertandingan video TikTok, rekaan poster dan melukis turut diadakan sebelum program diakhiri dengan aktiviti penanaman pokok bakau sebagai simbolik komitmen terhadap kelestarian alam.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh, Dato’ Haji Rashidi Zinol, serta Dekan FPSK USIM, Prof. Madya Dr. Razrim Rahim.

Pelaksanaan Wira Bakau 2026 memperlihatkan bagaimana pendekatan pemindahan ilmu dapat menghubungkan institusi akademik dengan komuniti dalam usaha memanfaatkan sumber semula jadi secara lebih kreatif dan mampan.

Inisiatif ini diharapkan dapat terus memperkasa komuniti melalui ilmu, kemahiran dan inovasi, di samping meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap kepentingan memelihara ekosistem bakau sebagai warisan alam dan sumber kehidupan masyarakat setempat.