NILAI – Buat julung kalinya dalam sejarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), kedua-dua Pro-Canselor universiti bergabung di atas pentas menerusi persembahan istimewa sempena Majlis Perasmian Pembukaan Olek Godang@USIM 2026 yang berlangsung di Khemah Utama Olek Godang, Dewan Tuanku Canselor (DTC), USIM, malam tadi, 2 November 2026.

Persembahan istimewa itu menampilkan YAM Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, Pro-Canselor USIM, bersama Tan Sri Dato’ Seri Abdul Wahid Omar, Pro-Canselor USIM, yang bergabung menjayakan persembahan muzik sebagai pembuka tirai pesta konvokesyen USIM Ke-24.

Lebih istimewa, kedua-dua Pro-Canselor diiringi kumpulan muzik Pusat Kebudayaan yang terdiri sepenuhnya daripada warga USIM melibatkan mahasiswa, alumni dan staf universiti, sekali gus memperlihatkan semangat kebersamaan serta keakraban warga universiti dalam menjayakan acara berkenaan.

Dalam persembahan tersebut, kedua-dua Pro-Canselor menyampaikan dua lagu popular iaitu “Hati Emas” nyanyian M. Nasir dan “Kamelia” oleh Sweet Charity, yang mendapat sambutan meriah daripada para hadirin.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, persembahan istimewa tersebut menjadi antara detik yang menceriakan pembukaan Olek Godang, selain memperlihatkan keakraban dan kebersamaan dalam kalangan warga universiti.

“Saya melihat penglibatan mahasiswa, alumni dan staf dalam persembahan ini sebagai satu contoh bagaimana bakat dan kreativiti warga USIM dapat digembleng bersama. Inilah semangat yang kita mahu terus suburkan, iaitu apabila seluruh keluarga USIM berganding bahu menjadikan setiap detik penting universiti sebagai satu kenangan bersama,” tambahnya lagi.

Pembukaan Olek Godang dengan persembahan istimewa dua Pro-Canselor bersama warga USIM sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan seluruh komuniti universiti dalam meraikan detik bermakna Konvokesyen ke-24 USIM.

Olek Godang@USIM 2026 merupakan pesta konvokesyen yang berlangsung selama enam hari dari 1 hingga 6 November 2026 di Khemah Utama Olek Godang@USIM, di pekarangan Dewan Tuanku Canselor, USIM.