NILAI – Pelaksanaan Sistem Waktu Bertugas Syif Komprehensif di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh pengurusan keselamatan kampus secara lebih sistematik dan selaras dengan pekeliling perkhidmatan awam serta garis panduan berkaitan waktu bekerja.
Penyusunan jadual syif yang lebih tersusun ini bukan sahaja meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan profesionalisme pegawai keselamatan, malah turut membantu mengurangkan keletihan fizikal dan mental anggota bertugas, sekali gus menjadikan USIM sebagai universiti awam perintis yang berpotensi menjadi penanda aras kepada institusi pengajian tinggi lain dalam membangunkan sistem keselamatan kampus yang lebih efisien, mampan dan berorientasikan kebajikan.
Pelaksanaan sistem ini dilaksanakan seiring dengan penjenamaan semula Jabatan Keselamatan kepada Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan USIM (DSE), dengan penugasan disusun berdasarkan pematuhan 180 jam bekerja bagi tempoh empat minggu, melibatkan jadual 12 jam bertugas sehari secara dua hari bertugas dan dua hari rehat. Pendekatan ini dirangka bagi memenuhi keperluan operasi keselamatan kampus yang berfungsi sepanjang masa, tanpa mengabaikan aspek kebajikan pegawai.
Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifuddin Md Shaarani berkata, pelaksanaan sistem syif komprehensif ini merupakan langkah strategik universiti dalam memperkukuh pengurusan keselamatan kampus secara lebih tersusun dan profesional.
“Pelaksanaan Waktu Bertugas Syif Komprehensif ini merupakan langkah awal USIM dalam memperkukuh pengurusan keselamatan kampus secara professional dan berstruktur. Sebagai barisan hadapan universiti, pegawai keselamatan memainkan peranan penting dalam menjayakan salah satu agenda utama pengurusan universiti dengan menjaga keselamatan seluruh warga kampus, termasuk pelajar dan staf,” kata beliau.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan USIM, Encik Mohd Shahrul Nizam bin Mohamed Shamsuddin berkata, pelaksanaan sistem syif komprehensif ini memberi penekanan jelas terhadap kebajikan anggota keselamatan selaras dengan tuntutan tugas yang beroperasi sepanjang masa.
“Penjadualan syif yang lebih seimbang dan terancang bukan sahaja meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta disiplin kerja pegawai keselamatan, malah turut membantu menjaga kesihatan fizikal dan kesejahteraan mental anggota bertugas, sekali gus memastikan perkhidmatan keselamatan kampus dapat dilaksanakan secara berterusan, berkesan dan mampan,” tambah beliau.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan Sistem Waktu Bertugas Syif Komprehensif ini menzahirkan iltizam USIM dalam membangunkan ekosistem keselamatan kampus yang profesional, berdaya tahan dan berteraskan kebajikan, sekali gus mengukuhkan peranan universiti sebagai peneraju amalan terbaik pengurusan keselamatan dalam landskap pendidikan tinggi negara.
Oleh: Mohd Ridzuan Shafie

