NILAI – Seramai 25 graduan huffaz daripada Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), membuktikan bahawa penguasaan al-Quran dan ilmu sains mampu bergerak seiring apabila mereka berjaya menggenggam ijazah dalam pelbagai bidang sains dan teknologi pada Majlis Konvokesyen Ke-24 USIM.
Kesemua graduan berkenaan merupakan huffaz yang telah melengkapkan hafazan 30 juzuk al-Quran sebelum meneruskan pengajian dalam bidang sains dan teknologi, sekali gus memperlihatkan pendekatan integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang menjadi antara asas pendidikan USIM.
Antara graduan tersebut, Siti Sarah Ruslan, 23, graduan Sains (Fizik Gunaan), mula menyemai minat menghafaz al-Quran sejak di bangku sekolah menerusi penglibatan dalam pertandingan hafazan serta keinginan untuk memperbaiki bacaan al-Quran.
Menurut Siti Sarah, hafazan bukan sekadar pencapaian yang perlu diselesaikan, sebaliknya memerlukan usaha berterusan melalui proses mengulang hafazan bagi memastikan ayat-ayat al-Quran kekal dalam ingatan.
Sementara itu, Muaz Haikal Mohamad Rani, 28, graduan Matematik Kewangan, mula mengenali al-Quran sejak kecil apabila bapanya sering memainkan rakaman bacaan al-Quran ketika berada di dalam kereta, sebelum minat tersebut berkembang sehingga mendorongnya mengikuti pendidikan hafazan 30 juzuk di MRSM Gemencheh.
Bagi Muaz Haikal, pengalaman menghafaz al-Quran turut memberi nilai tambah kepada bidang akademiknya apabila beliau melihat ilmu al-Quran sebagai panduan dalam memahami dan membentuk amalan kewangan yang lebih beretika serta berlandaskan prinsip syariah.
“Dalam dunia pasaran kewangan, kita tidak dapat lari dengan kemungkinan berlakunya unsur riba, penipuan dan perjudian. Tetapi dengan adanya pegangan agama yang kuat berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah, perkara-perkara ini dapat dielakkan sekali gus mewujudkan instrumen kewangan halal yang sistematik,” katanya.
Kisah 25 graduan huffaz FST ini memperlihatkan bahawa hafazan al-Quran dan penguasaan ilmu sains serta teknologi bukanlah dua laluan yang terpisah, sebaliknya boleh saling melengkapi dalam membentuk graduan yang memiliki kepakaran profesional bersama nilai dan prinsip Islam.
Pendekatan tersebut selari dengan aspirasi USIM untuk melahirkan teknokrat huffaz profesional yang bukan sahaja menguasai bidang kepakaran masing-masing, malah mampu membawa nilai al-Quran dan al-Sunnah dalam menghasilkan penyelesaian serta memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Kehadiran 25 graduan huffaz dalam bidang sains dan teknologi ini sekali gus menjadi gambaran bahawa kejayaan akademik dan penghayatan al-Quran mampu dibina secara serentak, melahirkan generasi profesional yang bukan sahaja berilmu, tetapi turut berpaksikan nilai, etika dan tanggungjawab kepada masyarakat.
Oleh: Iqbal Ilyas Mohd Nordin