NILAI – Mengimbangi kerjaya sebagai Pensyarah Perubatan, tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada empat cahaya mata serta pengajian doktor falsafah bukan penghalang buat Dr. Muhammad Faiz Mohd Fauad, 38, untuk mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Canselor pada Majlis Konvokesyen Ke-24 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Berasal dari Alor Star, Kedah dan merupakan anak kedua daripada tujuh beradik, Dr. Faiz berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (Sains Perubatan) di USIM sambil terus menjalankan tugasnya sebagai Pensyarah Perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), USIM.
Perjalanan tersebut menuntut komitmen yang tinggi apabila beliau perlu membahagikan masa antara tugas akademik, penyelidikan, keluarga dan tanggungjawab sebagai pensyarah, namun pengalaman itu mengajarnya untuk lebih berdisiplin dalam mengurus masa serta menetapkan keutamaan.
Antara pencapaian yang menyerlah sepanjang pengajiannya ialah apabila beliau muncul sebagai juara pertandingan 3 Minute Thesis (3MT) peringkat USIM pada tahun 2025, sekali gus membuktikan keupayaannya menyampaikan hasil penyelidikan secara ringkas, jelas dan berkesan.
Di sebalik pencapaian tersebut, perjalanan pengajiannya turut diuji dengan kehilangan ayah mertua ketika beliau masih mengikuti pengajian. Namun, ujian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menyelesaikan pengajian sehingga berjaya menggenggam gelaran doktor falsafah.
Bagi Dr. Faiz, kejayaan dalam menuntut ilmu perlu berjalan seiring dengan pembentukan peribadi kerana ilmu yang tinggi tanpa adab tidak akan memberikan nilai yang sebenar.
“Al-Ilmu fauqa al-Adab. Adab dahulu, kemudian ilmu,” katanya ketika berkongsi prinsip yang menjadi pegangan dalam perjalanan kehidupan dan kerjayanya.
Sebagai seorang Pensyarah Perubatan, Dr. Faiz kini berhasrat membawa hasil penyelidikan yang dilakukannya ke peringkat lebih luas dengan memperkenalkannya kepada rakan-rakan dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya bagi membantu proses pengenalpastian rangka manusia yang ditemui dalam sesuatu kes.
Menurut beliau, penyelidikan dan ilmu yang dihasilkan di universiti seharusnya tidak terhenti pada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat yang boleh membantu menyelesaikan permasalahan sebenar dalam masyarakat.
Kejayaan menerima Anugerah Canselor menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan Dr. Faiz sebagai ahli akademik dan penyelidik, selain menjadi bukti bahawa komitmen terhadap kerjaya, keluarga dan pengajian boleh diseimbangkan dengan disiplin, kesungguhan serta keazaman untuk terus menuntut ilmu.
Kini, selepas melengkapkan pengajian doktor falsafah, Dr. Faiz berhasrat untuk terus mengembangkan bidang penyelidikannya dan berkongsi kepakaran yang dimiliki bagi memberi nilai tambah kepada bidang perubatan serta masyarakat.
