NILAI – Kemalangan jalan raya kira-kira dua minggu sebelum Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tidak mematahkan semangat Adib Haiqal Subhi, 24, untuk hadir meraikan kejayaan akademiknya meskipun terpaksa menggunakan kerusi roda.
Graduan Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), itu terlibat dalam kemalangan pada 16 Oktober lalu ketika dalam perjalanan menjalankan tugasan liputan di Putrajaya.
Motosikal yang ditungganginya tergelincir di satu selekoh licin selepas beliau cuba mengelak sebuah kereta sejurus selesai solat Jumaat, menyebabkan kecederaan serius pada bahagian kaki dan memerlukan rawatan di Subang Jaya Medical Centre (SJMC).
Walaupun pergerakannya terbatas akibat kecederaan tersebut, anak kelahiran Sabak Bernam, Selangor itu tetap bertekad untuk hadir ke majlis konvokesyen kerana mahu mengabadikan detik menerima ijazah sebagai kenangan yang hanya hadir sekali dalam kehidupan.
Bagi Adib, kemalangan tersebut menjadi satu ujian yang mengajarnya untuk lebih menghargai nikmat kesihatan serta insan di sekeliling yang sentiasa hadir ketika beliau memerlukan sokongan.
“Ditarik nikmat berjalan untuk sementara waktu ini memberi hikmah yang sangat besar agar saya sentiasa menghargai orang di sekeliling saya,” katanya.
Sepanjang tempoh menerima rawatan, beliau turut menzahirkan rasa syukur atas sokongan keluarga, sanak-saudara dan rakan-rakan yang sentiasa berada di sisi serta memberikan sokongan moral kepadanya.
Di sebalik ujian yang dilalui, Adib turut mencipta langkah awal dalam kerjaya apabila diserap sebagai Penolong Editor di portal berita digital Siakap Keli pada 5 Ogos lalu selepas menamatkan latihan industri sebagai penulis artikel di portal berkenaan.
Pengalaman tersebut memberinya peluang menerapkan ilmu kewartawanan dan penulisan berita yang dipelajari sepanjang pengajian, selain menimba pengalaman bekerja ketika menjalani latihan industri.
Anak kedua daripada empat beradik itu turut tidak kekok membantu perniagaan katering keluarganya di kampung setiap kali cuti semester, pengalaman yang turut membentuk sikap berdikari sebelum beliau melangkah ke alam kerjaya.
“Harapan saya dalam pekerjaan ini adalah untuk mencuba sehabis baik dan terus menaik taraf potensi diri saya ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Bagi Adib, kecederaan yang dialaminya hanya membataskan pergerakan untuk sementara, namun tidak seharusnya membataskan impian untuk terus membina masa depan dan mengembangkan potensi diri dalam bidang yang diceburinya.
Oleh: Nur Khadija Sulaiman