NILAI – Berani keluar daripada zon selesa membawa dua graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Raudhatul Afiah binti Muhammad Ishak dan Nurul Farmin binti Mohd Nor Azman, 23, menjejakkan kaki ke Rusia bagi meneroka perkembangan industri kewangan Islam melalui latihan industri antarabangsa.
Kedua-duanya merupakan graduan Sarjana Muda Perbankan dan Kewangan Islam dengan Kepujian, Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), yang menjalani latihan industri menerusi kerjasama FEM dengan Kazan Federal University (KFU), Rusia, dengan penempatan di Amal Financial House, sebuah institusi kewangan Islam di Kazan.
Sepanjang dua bulan berada di Rusia, mereka menjalankan penyelidikan berkaitan tahap perkembangan produk dan instrumen kewangan Islam dalam pasaran Rusia, termasuk meneroka bagaimana pengalaman Malaysia sebagai antara hab kewangan Islam boleh dijadikan rujukan dalam konteks negara berkenaan.
Pendedahan tersebut turut diperluas melalui penyertaan dalam Summer University di KFU yang ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Rusia, program Master Class bersama pensyarah FEM serta The 17th International Economic Forum “Russia – Islamic World: KazanForum” yang menghimpunkan pelbagai pihak bagi membincangkan hubungan ekonomi antara Rusia dan dunia Islam.
Bagi memenuhi tempoh latihan industri selama lima bulan, kedua-duanya memilih untuk melanjutkan penempatan secara fizikal di Rusia daripada cadangan asal sebulan kepada dua bulan sebelum melengkapkan baki tiga bulan latihan di Malaysia.
Keputusan untuk meneruskan pengalaman tersebut turut hadir bersama cabaran apabila ketegangan geopolitik di Asia Barat dan penutupan ruang udara tertentu menimbulkan kebimbangan terhadap laluan penerbangan, selain memerlukan mereka mempertimbangkan penerbangan alternatif yang berpotensi meningkatkan kos perjalanan.
Namun, kebimbangan tersebut tidak mematahkan semangat mereka apabila kedua-duanya berjaya tiba di Kazan dan menjalani latihan industri dalam keadaan baik, malah pengalaman berada di sana turut memberi perspektif baharu mengenai kehidupan sebagai mahasiswa Muslim dalam persekitaran antarabangsa.
Bagi Raudhatul Afiah, pengalaman menjalani latihan industri di luar negara membuktikan bahawa mahasiswa perlu berani mencari peluang antarabangsa dan membuat persediaan lebih awal bagi memastikan proses permohonan serta penempatan dapat dirancang dengan baik.
“Bagi saya, sekurang-kurangnya lima bulan sebelum latihan industri, kerana ada permohonan yang dibuka dua atau tiga bulan lebih awal dan proses menunggu keputusan juga mengambil masa,” katanya.
Beliau turut menyeru mahasiswa supaya tidak membiarkan rasa takut menghalang mereka daripada mencuba peluang di luar negara, sebaliknya membuat persediaan awal dan mempertimbangkan setiap risiko secara bijak.
Pengalaman Raudhatul Afiah dan Nurul Farmin memperlihatkan bagaimana peluang antarabangsa yang disediakan melalui kerjasama USIM bukan sahaja memperluas pengalaman mahasiswa, malah membuka ruang kepada mereka untuk memahami perkembangan kewangan Islam dalam perspektif global serta meneroka potensi ilmu yang dipelajari di universiti untuk diaplikasikan dalam konteks antarabangsa.
Daripada bilik kuliah di USIM ke dunia kewangan Islam di Rusia, pengalaman tersebut menjadi bukti bahawa keberanian meneroka ruang baharu mampu mengubah latihan industri menjadi pengalaman pembelajaran yang jauh melangkaui sempadan negara.
Oleh: Eizza Anis Nafiesha Ag Ghani