NILAI – Impian seorang ibu untuk melihat kesemua lima anaknya menceburi bidang perubatan dan kesihatan akhirnya menjadi kenyataan apabila anak bongsunya, Nur Faiqah Balqis Roslan, 24, berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian pada Majlis Konvokesyen Ke-24 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Graduan Fakulti Pergigian kelahiran Kuala Terengganu itu melengkapkan legasi profesional keluarganya apabila kesemua lima beradik kini berkhidmat dalam sektor perubatan dan kesihatan, dengan dua daripadanya merupakan doktor perubatan manakala tiga lagi, termasuk Faiqah, memilih bidang pergigian.

Minat Faiqah terhadap bidang pergigian mula bercambah selepas melihat sendiri cara abang ketiganya, Dr. Sidi Ahmad Lukman, berinteraksi dengan pesakit serta mengendalikan klinik pergigian keluarga yang kini mempunyai rangkaian di Dataran Austin Kuala Terengganu, Star Dental Putrajaya dan Kota Bharu, Kelantan.

“Sejujurnya, dahulu saya tidak pernah terdetik untuk menjadi doktor pergigian. Namun, rasa minat saya mula timbul apabila melihat pendekatan dan cara abang ketiga saya berinteraksi dan berkomunikasi dengan pesakit kerana pendekatannya amat istimewa dan berbeza dengan doktor perubatan,” katanya.

Bagaimanapun, perjalanan akademiknya bukan tanpa cabaran apabila Faiqah pernah berdepan kegagalan dalam peperiksaan pada tahun pertama dan ketiga pengajian, namun sokongan keluarga, rakan-rakan serta doa ibu bapa menjadi kekuatan untuknya bangkit dan meneruskan pengajian sehingga tamat.

Bagi Faiqah, menjadi seorang doktor pergigian bukan sekadar memerlukan kemahiran klinikal, malah menuntut keupayaan memahami psikologi serta emosi pesakit bagi memastikan mereka berasa selesa sepanjang menerima rawatan.

“Sebagai doktor, tanggungjawab kita bukan setakat merawat kesakitan atau gigi semata-mata, sebaliknya kita perlu merawat hati pesakit terlebih dahulu. Apabila kita berjaya mendekati dan menenangkan emosi mereka, proses rawatan fizikal akan menjadi lebih mudah,” jelasnya.

Antara pengalaman paling bermakna sepanjang latihan klinikalnya ialah ketika berjaya menyerahkan set gigi palsu penuh pertama kepada seorang pesakit warga emas, dengan reaksi gembira serta ucapan terima kasih pesakit tersebut menjadi kenangan yang menguatkan semangatnya untuk menamatkan pengajian.

Kini, Faiqah merancang untuk mendaftar secara rasmi di bawah Majlis Pergigian Malaysia (MDC) sebelum memulakan khidmat di klinik swasta milik keluarganya, selain bercadang menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang rawatan akar atau endodontik pada masa hadapan.

Kejayaan Faiqah bukan sahaja melengkapkan perjalanan akademiknya, malah menjadi satu lagi pencapaian dalam keluarga yang memilih bidang perubatan dan kesihatan sebagai jalan untuk berbakti kepada masyarakat, sekali gus merealisasikan impian ibu yang mahu melihat kesemua anaknya bergelar profesional dalam bidang tersebut.

Oleh: Siti Nur Insyiraah Sh Hussin