Peluncuran Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 telah meletakkan pembangunan modal insan holistik, berintegriti dan berteraskan nilai sebagai teras transformasi pendidikan tinggi negara. Dalam konteks pelaksanaan, penyertaan persatuan badan beruniform di universiti awam muncul sebagai antara wahana strategik yang signifikan dalam membentuk kepimpinan beretika dalam kalangan mahasiswa. Melalui modul latihan berstruktur yang menekankan disiplin, amanah, khidmat masyarakat, kepatuhan kepada peraturan serta kepimpinan berpasukan, persatuan beruniform khususnya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berperanan menterjemahkan aspirasi RPTM daripada dokumen dasar kepada amalan pembentukan karakter di peringkat akar umbi melibatkan mahasiswa di kampus. Lebih daripada aktiviti kokurikulum, badan beruniform menjadi ekosistem pembelajaran berasaskan nilai yang melahirkan pemimpin muda berjati diri, berdaya tahan dan berorientasikan khidmat selari dengan hasrat RPTM untuk melahirkan graduan bukan sahaja kompeten dari sudut ilmu dan kemahiran, tetapi juga kukuh dari segi etika, tanggungjawab sosial dan kepimpinan.
Dalam usaha ini, pengurusan tertinggi universiti dan kumpulan pelaksana amat komited memainkan peranan strategik dalam membangunkan modal insan yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi malah berintegriti dan berakhlak mulia. Selari dengan aspirasi pembangunan pendidikan negara yang menekankan pemerkasaan nilai dan etika, institusi pengajian tinggi berdepan tanggungjawab yang semakin besar dalam membentuk kepimpinan beretika dalam kalangan mahasiswa. Dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi digital, cabaran berkaitan integriti akademik, penggunaan teknologi secara tidak beretika dan kemerosotan nilai murni menuntut pendekatan pendidikan yang lebih holistik dan berfokus kepada pembentukan sahsiah. Elemen dan amalan kepimpinan beretika menjadi kayu ukur untuk memastikan keupayaan individu memimpin berasaskan prinsip moral, kejujuran, integriti dan tanggungjawab sosial. Justeru, kepimpinan beretika bukan sekadar berkait dengan jawatan atau peranan formal tetapi merangkumi sikap dan tingkah laku mahasiswa dalam kehidupan akademik dan sosial. Penekanan yang terlalu berat kepada pencapaian akademik tanpa pengukuhan nilai etika berpotensi mewujudkan jurang antara kecemerlangan intelektual dan kematangan moral. Keadaan ini boleh memberi implikasi jangka panjang terhadap kualiti kepimpinan dan kepercayaan masyarakat terhadap visi dan misi utama hala tuju institusi pendidikan tinggi negara untuk melahirkan graduan yang holistik.
Misalnya, antara cabaran utama ialah isu integriti akademik seperti plagiarisme dan ketidakjujuran dalam penilaian yang semakin kompleks dengan kemunculan teknologi digital dan kecerdasan buatan. Walaupun teknologi berperanan sebagai pemudah cara pembelajaran, namun penggunaannya tanpa panduan nilai boleh menjejaskan keaslian pemikiran dan kejujuran intelektual. Dalam hal ini, pembentukan kepimpinan beretika dalam diri individu memerlukan pendekatan yang melangkaui penguatkuasaan peraturan semata-mata, sebaliknya menekankan pembinaan nilai dalaman melalui pendidikan berterusan.
Pendidikan Berfokus Nilai dan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman
Bagi menangani cabaran ini, pendidikan tinggi perlu mengimbangi pembangunan ilmu dengan pemerkasaan nilai dan etika. Pendekatan pendidikan berfokuskan nilai yang mengintegrasikan pembelajaran berasaskan pengalaman didapati lebih berkesan dalam membentuk tingkah laku beretika secara berterusan. Melalui pengalaman sebenar, mahasiswa dapat menghayati nilai seperti tanggungjawab, disiplin dan akauntabiliti dalam konteks praktikal, bukan sekadar memahami konsep secara teori. Justeru, aktiviti kokurikulum yang berimpak tinggi khususnya persatuan beruniform, menyediakan ruang pembelajaran yang menyeluruh merangkumi aspek kognitif, afektif dan psikomotor. Pendekatan ini menyokong usaha USIM dalam melahirkan graduan yang seimbang, berdaya saing dan berintegriti. Persatuan beruniform seperti Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) berfungsi sebagai platform sokongan yang signifikan dalam pembentukan kepimpinan beretika. Melalui latihan berstruktur, mahasiswa didedahkan kepada nilai amanah, kepatuhan kepada peraturan, kejujuran dan tanggungjawab terhadap diri serta pasukan. Setiap latihan yang dijalankan menekankan disiplin, kepimpinan melalui teladan dan keupayaan membuat keputusan dalam situasi mencabar membantu membentuk ketahanan mental dan kematangan moral. Secara keseluruhannya, kepimpinan beretika merupakan isu dan cabaran utama dalam merealisasikan hala tuju RPTM 2026–2035 dapat dilaksanakan dengan berimpak. Oleh itu, PALAPES di USIM berperanan sebagai pelengkap strategik dalam membentuk mahasiswa berintegriti, berdisiplin dan bertanggungjawab, selari dengan aspirasi pembangunan pendidikan dan keperluan masyarakat masa hadapan. Diharapkan persatuan badan beruniform mampu menjadi platform sokongan penting kepada agenda nasional pendidikan tinggi, khususnya dalam mempersiapkan generasi pentadbir, profesional dan pemimpin institusi masa depan yang mampu memacu pembangunan negara secara lestari dan berteraskan nilai.

