NILAI – Kepercayaan komuniti Muslim di Jepun terhadap Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus terserlah apabila seramai 11 orang pelajarnya dipilih untuk berkhidmat sebagai imam solat Tarawih sepanjang Ramadan di Osaka, Jepun bermula 16 Februari hingga 25 Mac 2026 menerusi Program Imam Tarawih Pelajar USIM di Osaka, satu inisiatif Kumpulan Penyelidik Iqra’ Centre di bawah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM.
Program berkenaan merupakan inisiatif akademik dan dakwah yang digerakkan oleh Iqra’ Centre, FPQS, bagi menyediakan pelajar USIM yang berkelayakan untuk berkhidmat sebagai imam dalam konteks masyarakat minoriti Muslim. Pelaksanaan program tahun ini turut melibatkan seorang imam jemputan dari Brunei Darussalam yang akan berkhidmat bersama para pelajar USIM sepanjang tempoh penugasan.
Naib Canselor USIM Prof Dato’ Ts. Dr Sharifudin Md Shaarani berkata, penglibatan pelajar universiti berkenaan dalam program ini mencerminkan keyakinan pihak luar terhadap kualiti pelajar serta pendekatan pendidikan Islam yang diterapkan di USIM.
“Saya melihat peluang ini sebagai satu ruang terbaik untuk pelajar USIM mempraktikkan ilmu yang dipelajari, di samping membawa imej institusi yang menekankan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dalam pengajian. Pengalaman berkhidmat sebagai imam di peringkat antarabangsa ini bukan sahaja menguji keupayaan ilmu dan kemahiran pelajar, malah membentuk keperibadian serta kefahaman mereka dalam konteks masyarakat yang lebih luas,” tambah beliau.
Sementara itu, Pengarah Kumpulan Penyelidik Iqra’ Centre, FPQS Dr Norazman Alias menjelaskan bahawa kesemua pelajar terlibat telah melalui proses pemilihan yang rapi sebelum dipilih untuk menyertai program tersebut.
“Program ini merupakan inisiatif yang memberi penekanan kepada pemilihan calon berasaskan keupayaan bacaan al-Quran, kefahaman agama serta kesediaan untuk berkhidmat dalam persekitaran masyarakat minoriti Muslim. Seramai 30 calon daripada beberapa fakulti telah menjalani sesi temu duga sebelum 11 pelajar dipilih,” jelasnya.
Sebagai persediaan awal, para pelajar akan mengikuti kursus persediaan intensif bermula 3 hingga 11 Februari 2026, merangkumi latihan asas Bahasa Jepun serta pemantapan bacaan dan penghayatan al-Quran, di bawah bimbingan pensyarah USIM.
Dalam pada itu, salah seorang peserta yang akan menjalani latihan industri di Japan Dakwah Centre, saudara Abdul Halim Mohd Nor,25, pelajar tahun empat Program Qiraat turut menyifatkan peluang berkenaan sebagai satu pengalaman berharga untuk menimba ilmu dan merasai suasana baharu, khususnya menjalani ibadah puasa di negara minoriti Muslim.
“Saya teruja untuk merasai suasana Ramadan di tempat orang dan melihat sendiri bagaimana masyarakat Muslim di Jepun menghayati bulan puasa. Pengalaman ini sangat bermakna buat saya sebagai pelajar Qiraat dan bakal pendakwah,” katanya.
Menurut beliau, pelantikan sebagai imam Tarawih bukanlah pengalaman pertama, memandangkan beliau pernah dipilih menjadi imam Tarawih di Surau An-Nur, Semenyih ketika tahun pertama dan kedua pengajian.
“Pengalaman awal itu banyak membentuk keyakinan diri dan kefahaman saya tentang tanggungjawab seorang imam, bukan sekadar bacaan, tetapi juga akhlak dan contoh teladan,” ujarnya.
Pelaksanaan program ini turut mendapat sokongan apabila para pelajar menerima tajaan penuh tiket penerbangan hasil sumbangan seorang tokoh korporat, sebagai tanda sokongan terhadap usaha dakwah dan pendidikan Islam di peringkat antarabangsa.


