NILAI – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Program Family Fun Run dan Family Day PALAPES USIM Tahun 2026 bertempat di Markas PALAPES USIM pada 12 April 2026 baru-baru ini.
Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan melibatkan warga PALAPES USIM yang terdiri daripada lapan pegawai, 18 anggota, 14 ahli BAKAT serta 38 kanak-kanak.
Program dimulakan dengan sesi senamrobik sebagai aktiviti pemanasan badan sebelum acara larian berlangsung. Aktiviti tersebut dikendalikan oleh Jurulatih Jasmani bersama Pegawai Kadet dan berjaya menarik penyertaan aktif dalam kalangan anggota serta ahli keluarga dalam suasana ceria dan penuh bertenaga.
Acara seterusnya ialah pelepasan Family Fun Run sejauh 3.2 kilometer yang telah disempurnakan oleh Timbalan Komandan PALAPES USIM, Lt. Kol. Rozaimi Kamarudin. Larian tersebut menyaksikan penyertaan anggota dan ahli keluarga yang berlari bersama dalam suasana harmoni, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan kekeluargaan yang menjadi tunjang kekuatan warga PALAPES USIM.
Majlis penutup program pula berlangsung dalam suasana sederhana namun meriah. Penganjuran ini turut menggabungkan sambutan Family Day PALAPES USIM yang memberi ruang kepada warga pasukan dan ahli keluarga untuk berinteraksi dalam suasana lebih santai dan mesra.
Pelbagai aktiviti telah diatur bagi memeriahkan program, antaranya permainan dalaman yang melibatkan keluarga dan kanak-kanak serta persembahan oleh pegawai kadet. Pengisian yang disusun bukan sahaja menceriakan suasana, malah turut menyumbang kepada usaha memperkukuh hubungan silaturahim antara warga PALAPES USIM dan keluarga masing-masing.
Pada akhir majlis, acara penyampaian hadiah telah diadakan sebagai penghargaan kepada para pemenang atas pencapaian dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang program berlangsung. Turut diadakan ialah penyampaian cenderahati kepada ahli BAKAT yang bakal bersara serta penghargaan kepada ahli BAKAT dan anggota yang akan bertukar keluar sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan mereka sepanjang berkhidmat di PALAPES USIM.
Penyampaian hadiah dan cenderahati telah disempurnakan oleh Pengerusi BAKAT PALAPES USIM, Puan Noryurni Shahida Mohd. Yusoff bersama Ketua Jurulatih PALAPES USIM, Mej. Noor Efendy Hj. Samih.
Penganjuran Program Family Fun Run dan Family Day PALAPES USIM Tahun 2026 ini mencerminkan komitmen berterusan PALAPES USIM dalam memupuk kesejahteraan warga, di samping memperkukuh institusi kekeluargaan sebagai asas penting dalam melahirkan anggota yang cemerlang, seimbang dan berdaya tahan.


