NILAI – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Pertandingan Ujian Jalan Laju (UJL) Antara Kompeni dengan penyertaan seramai 90 pegawai kadet.

Kompeni Umar Al-Khattab telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan, diikuti oleh Kompeni Abu Bakar As-Siddiq sebagai naib juara, manakala Kompeni Uthman bin Affan menduduki tempat ketiga.

Program yang berlangsung pada 12 April 2026 itu urut melibatkan pegawai dan jurulatih PALAPES USIM yang bertindak sebagai juri serta pengadil, manakala pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Ketua Jurulatih PALAPES USIM, Mejar Noor Efendy Haji Samih.

Mejar Noor Efendy Haji Samih berkata, Ujian Jalan Laju ini telah dilaksanakan di sekitar kampus USIM melalui laluan dan jarak yang telah ditetapkan. Pertandingan ini membabitkan penyertaan daripada tiga kompeni yang bersaing secara kompetitif bagi menilai tahap kecergasan fizikal, ketahanan mental serta semangat kerjasama dalam kalangan pegawai kadet, selaras dengan keperluan latihan ketenteraan semasa.

“Sejurus tamat larian, semua peserta telah menjalani pemeriksaan Full Set Marching Order (FSMO), iaitu pemakaian loreng tempur lengkap bersama bagpack. Pemeriksaan tersebut dilaksanakan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan fizikal pegawai kadet sentiasa berada pada tahap optimum, di samping menguji keupayaan mereka melaksanakan tugasan dalam situasi sebenar yang melibatkan bebanan peralatan di lapangan”, ujarnya lagi.

Penganjuran UJL ini selaras dengan Perintah Ulung Panglima Latihan Tentera Darat Ke-31, iaitu “Kemahuan Untuk Menang”, yang menuntut setiap pegawai kadet agar sentiasa berdaya saing, memiliki semangat juang yang tinggi serta tidak mudah mengalah dalam menghadapi sebarang cabaran.