NILAI – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menerima kunjungan Tim Audit Luaran bagi pelaksanaan Audit Luaran MASt Pengurusan Dokumentasi Persaraan dan Pemberhentian Anggota Tetap Tentera Darat di Markas Kompeni (MK) PALAPES USIM, pada 17 April 2026 baru-baru ini.

Audit tersebut bertujuan memastikan pasukan mengamalkan sistem pengurusan kualiti yang berkesan serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan menerusi Manual Kualiti MASt.

Audit luaran berkenaan telah diketuai oleh Leftenan Kolonel Khairul Azmi bin Mohamed selaku Ketua Juruaudit Luaran dari Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MK PLDTD) bersama Mejar Mohd Daud bin Mohamad dan Kapten Muhamad Hafiz bin Zakaria.

Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Jurulatih PALAPES USIM, Mejar Noor Efendy Haji Samih. Seterusnya, Leftenan Halimatun Saidah Aminuddin selaku Pegawai MASt pasukan telah menyampaikan taklimat berhubung pelaksanaan audit dalaman yang telah dijalankan oleh pasukan sebelum Tim Audit Luaran memulakan pemeriksaan.

Sepanjang audit berlangsung, pemeriksaan fizikal turut dilaksanakan terhadap dokumen-dokumen berkaitan persaraan dan pemberhentian anggota tetap, yang diteliti secara terperinci oleh Tim Audit Luaran.

Audit kemudiannya diteruskan dengan sesi Exit Conference, yang menyaksikan penyampaian dapatan serta maklum balas hasil pemeriksaan yang telah dilaksanakan. Sesi audit diakhiri dengan sesi bergambar sebagai tanda penghargaan atas kerjasama erat yang diberikan oleh semua pihak sepanjang pelaksanaan audit tersebut.

Secara keseluruhannya, audit yang dijalankan berjaya dipatuhi oleh pasukan berdasarkan keperluan senarai semak MASt Pengurusan Dokumentasi Persaraan dan Pemberhentian Anggota Tetap Tentera Darat. Pelaksanaan audit ini juga selaras dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-31 melalui falsafah “Kemahuan Untuk Menang”, khususnya menerusi elemen organisasi yang menekankan pengurusan sistematik, tadbir urus berkesan serta kecekapan pentadbiran dalam memperkasakan kesiapsiagaan pasukan.