KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mengukuhkan reputasinya dalam melahirkan graduan Muslim profesional yang berdaya saing apabila syarikat alumni, Hawradeen Enterprise, berjaya meraih tempat kedua bagi kategori Anugerah Keusahawanan Graduan Terbaik sempena Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi 2025 (AKKPT’25) pada 15 Mei 2026 baru-baru ini.
Majlis dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dan turut dihadiri barisan tertinggi kementerian, agensi strategik seperti SME Corp Malaysia dan MDEC, serta wakil institusi pendidikan tinggi dari seluruh negara di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.
Hawradeen Enterprise dimiliki oleh pasangan suami isteri alumni USIM iaitu Encik Mohamad Aqil Alif Mohd Zainudin,28, graduan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) bersama Puan Nur Iman Tasnim Mohd Shaipudin,25, graduan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS). Kejayaan ini hadir bersama hadiah kemenangan bernilai RM25,000, sekali gus membuktikan keupayaan alumni USIM membangunkan perniagaan yang berdaya saing di peringkat nasional.
Pencapaian tersebut meletakkan USIM sebaris dengan universiti awam lain apabila tempat pertama diraih oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK), manakala tempat ketiga dimenangi oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS). Kejayaan Hawradeen Enterprise turut menjadi lebih bermakna apabila syarikat berkenaan pernah meraih pengiktirafan dalam AKKPT pada tahun 2023 bagi kategori pelajar, sebelum sekali lagi mencipta kejayaan pada tahun ini dalam kategori graduan.
Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni USIM, Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah, kejayaan Hawradeen Enterprise meraih tempat kedua di peringkat nasional membuktikan bahawa ekosistem keusahawanan USIM mampu melahirkan graduan Muslim profesional yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berani mencipta peluang dan memberi nilai kepada masyarakat. Inilah hasil pendidikan yang mengintegrasikan ilmu, nilai dan kemahiran praktikal untuk manfaat negara,” katanya.
Beliau berkata lagi, usaha berterusan USIM dalam memperkasa mahasiswa melalui pelbagai inisiatif keusahawanan, bimbingan berstruktur dan sokongan alumni telah menjadi antara pemangkin kepada kejayaan tersebut. Kejayaan Hawradeen Enterprise juga wajar dijadikan inspirasi kepada mahasiswa dan alumni USIM untuk terus berani meneroka bidang keusahawanan, membina perniagaan berimpak serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.
AKKPT’25 yang dianjurkan secara dwitahunan merupakan pengiktirafan tertinggi negara dalam menghargai kecemerlangan institusi pendidikan tinggi, ahli akademik, pentadbir serta mahasiswa yang memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan ekonomi keusahawanan negara.
Pada penyertaan kali ini, Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU) menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkasa agenda keusahawanan apabila berjaya menghantar penyertaan bagi tujuh kategori pertandingan, dengan dua kategori mara ke peringkat akhir dan satu kategori berjaya meraih kedudukan tiga terbaik.
Kejayaan ini sekali gus memperkukuh kedudukan USIM sebagai universiti yang komited melahirkan graduan Muslim profesional yang bukan sahaja menguasai ilmu dalam bidang pengajian masing-masing, malah berupaya mengintegrasikan ilmu, nilai, etika dan kemahiran praktikal dalam dunia sebenar.
Turut hadir mewakili USIM ialah Dr. Hisham Sabri, Pengarah Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU) dan Puan Fatin Anis Mahirah Mohammad, Penyelaras Keusahawanan AKKPT’25-USIM.

