NILAI – Kesatuan Kakitangan Sokongan Universiti Sains Islam Malaysia (KUSIMA) meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-16 menerusi Majlis Kesyukuran dan Sambutan 16 Tahun KUSIMA yang berlangsung di Executive Lounge, Kompleks Islam Tuanku Muhriz (KITM) pada 18 Mei 2025 hari ini.

Majlis yang menghimpunkan barisan kepimpinan serta ahli kesatuan itu menjadi simbol penghargaan terhadap perjalanan KUSIMA sejak penubuhannya pada 18 Mei 2010, sekali gus mencerminkan peranan penting kesatuan dalam memperkukuh kebajikan, suara bersama dan semangat kebersamaan dalam kalangan kakitangan sokongan USIM.

Sambutan dimulakan dengan bacaan doa selamat bagi memohon keberkatan, diikuti ucapan amanat oleh Presiden KUSIMA, Mohd Jamil Ahmad Mokhtor.

Dalam ucapannya, beliau mengimbau perjalanan 16 tahun KUSIMA yang disifatkan sebagai sebuah bahtera yang telah mengharungi pelbagai cabaran, perubahan dan tuntutan semasa dunia pekerjaan.

Menurut beliau, kekuatan sebenar sesebuah kesatuan bukan terletak pada nama semata-mata, sebaliknya pada komitmen, kepercayaan dan kebersamaan ahli yang terus menjadi tunjang kepada perjuangan kesatuan.

“Sebuah kesatuan tidak akan berdiri teguh hanya kerana namanya, tetapi ia berdiri megah kerana orang-orang di dalamnya. Kebersamaan andalah yang menjadi nadi dan kekuatan sebenar kita,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli KUSIMA atas sokongan padu, pengorbanan masa, tenaga serta buah fikiran yang telah membolehkan kesatuan ini terus berkembang dan mencapai tahap kematangan seperti hari ini.

Dalam mendepani cabaran era moden, Mohd Jamil menegaskan bahawa landskap kerja yang semakin dinamik menuntut kesatuan untuk bergerak dengan lebih fleksibel, bersatu dan berpandangan jauh. Justeru, beliau menyeru semua ahli, sama ada yang lama mahupun baharu, agar terus memperkukuh budaya musyawarah, mengelakkan perpecahan dan memelihara semangat kekitaan.

“Ingatlah, kekuatan kita terletak pada kesatuan kita. Selagi kita bergerak sebagai satu pasukan, selagi itulah kebajikan dan maruah kita akan terus terpelihara,” tegas beliau.

Sambutan ulang tahun ke-16 ini bukan sahaja menjadi detik meraikan sejarah penubuhan KUSIMA, malah turut memperbaharui komitmen kesatuan untuk terus menjadi wadah kebajikan, perpaduan dan sokongan strategik kepada warga kakitangan sokongan USIM.

Oleh: Marfizah Md Zain