NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) komited dalam memperkukuh penyelidikan berasaskan bukti berkaitan rawatan dan pemulihan penagihan dadah, khususnya penggunaan Amphetamine-Type Stimulants (ATS), menerusi penglibatan penyelidiknya dalam 30th ASEAN Senior Officials Meeting on Drug Matters Working Group on Research (30th ASOD WG on Research).

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM, Dr. Farhana Sabri, yang merupakan antara ahli pasukan penyelidikan kajian tersebut, isu penggunaan ATS memerlukan pendekatan rawatan yang komprehensif dan disokong oleh bukti saintifik, khususnya apabila kesannya turut melibatkan aspek psikologi, tingkah laku dan kesihatan mental.

Kajian bertajuk “Meta-Analysis on Treatment and Rehabilitation of Amphetamine-Type Stimulant Abuse” merupakan kajian sistematik dan meta-analisis yang dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pasukan penyelidik universiti. Sebanyak 1,005 rekod telah disaring dan 55 kajian dari 13 negara dimasukkan dalam sintesis kajian, dengan kira-kira 3,200 peserta terlibat dalam analisis kuantitatif.

“Dapatan kajian menunjukkan bahawa intervensi bagi pengguna ATS secara keseluruhannya memberikan kesan positif terhadap beberapa outcome utama termasuk craving, kemurungan, keresahan dan penggunaan dadah. Apa yang menarik, intervensi bukan farmakologi seperti pendekatan psikologi, psikososial dan tingkah laku menunjukkan kesan yang paling konsisten dan kukuh, khususnya dalam mengurangkan craving, keresahan dan penggunaan dadah,” katanya.

Menurut Dr. Farhana, dapatan tersebut mempunyai implikasi penting terhadap pembangunan rawatan dan rehabilitasi ATS di Malaysia kerana ia menunjukkan bahawa pemulihan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pendekatan perubatan.

“Bagi bidang kaunseling penagihan, dapatan ini sangat signifikan kerana ia mengukuhkan kepentingan intervensi psikologi dan psikososial sebagai sebahagian daripada rawatan ATS. Ini juga memberi ruang untuk kita memperkukuh penyelidikan berkaitan intervensi kaunseling, kesihatan mental dan dual diagnosis dalam kalangan pengguna dadah,” jelas beliau.

Hasil kajian tersebut telah dikongsikan oleh Malaysia dalam 30th ASOD WG on Research. Malaysia merupakan antara lima negara ASEAN yang berkongsi hasil penyelidikan dalam mesyuarat tersebut bersama Kemboja, Indonesia, Filipina dan Thailand.

Kajian berkenaan turut mencadangkan empat keutamaan penyelidikan bagi rantau ASEAN iaitu memperluas kajian intervensi, menyeragamkan pengukuran outcome, memperkukuh kolaborasi penyelidikan serantau dan meningkatkan penggunaan bukti penyelidikan dalam pembangunan dasar.

Menurut Dr. Farhana, penyalahgunaan ATS di Malaysia kini berada pada tahap membimbangkan apabila kumpulan dadah berkenaan menyumbang kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan kes penagihan dadah yang direkodkan di seluruh negara setakat Mac 2026.

“Penyalahgunaan ATS di Malaysia kini mengatasi dadah tradisional seperti heroin dan kokain. Negara-negara ASEAN juga sedang giat mencari pendekatan rawatan berasaskan bukti yang benar-benar berkesan bagi menangani penagihan ATS. Malaysia pula terus aktif menjalankan penyelidikan berkaitan rawatan dan pemulihan ATS sejak beberapa tahun lalu bagi mengenal pasti intervensi yang paling berkesan serta sesuai dilaksanakan,” katanya.