BANGKINANG, RIAU – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh jaringan akademiknya di rantau ASEAN menerusi penglibatan Profesor Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Prof. Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali sebagai penceramah utama dalam Workshop Internasional Penulisan Jurnal Bereputasi di Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi (STIE) Bangkinang, Indonesia pada 16 Julai 2026 baru-baru ini.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama STIE Bangkinang, Universitas Lancang Kuning (UNILAK) dan USIM itu bertujuan memperkasakan budaya penyelidikan serta meningkatkan kualiti penerbitan ilmiah dalam kalangan ahli akademik dan penyelidik.
Bengkel tersebut turut menampilkan Profesor Fakulti Ekonomi dan Bisnis, UNILAK, Prof. Dr. Arrizal, S.E., M.M. sebagai wakil institusi rakan strategik dalam usaha memperkukuh kerjasama akademik serantau.
Sepanjang sesi perkongsian, Prof. Dr. Nuradli membimbing peserta mengenai strategi menghasilkan artikel akademik berimpak tinggi, pemilihan jurnal yang bersesuaian, pengurusan proses penerbitan serta amalan terbaik bagi meningkatkan potensi penerimaan manuskrip dalam jurnal bereputasi antarabangsa.
Menurut beliau, penerbitan dalam jurnal bereputasi bukan sahaja memerlukan hasil penyelidikan yang berkualiti, malah turut bergantung kepada keupayaan penyelidik memahami skop jurnal, menyusun manuskrip secara strategik serta memberikan respons yang baik terhadap ulasan penilai.
“Penerbitan akademik merupakan wadah penting kepada penyelidik untuk menyampaikan dapatan kajian, menyumbang kepada perkembangan ilmu dan memastikan penyelidikan yang dijalankan memberikan impak lebih luas pada peringkat serantau serta antarabangsa,” katanya.
Penglibatan beliau adalah susulan jemputan rasmi STIE Bangkinang pada 15 Julai 2026 untuk menjadi narasumber dalam bengkel antarabangsa tersebut.
Selain sesi perkongsian ilmu, lawatan berkenaan turut membuka ruang perbincangan strategik antara USIM, STIE Bangkinang dan UNILAK bagi meneroka potensi kerjasama akademik yang lebih luas.
Dalam pertemuan bersama Rektor STIE Bangkinang, Dr. H. Zulher, M.S., beberapa cadangan kerjasama telah dibincangkan termasuk pelaksanaan program pertukaran pensyarah, penyelidikan kolaboratif, penerbitan bersama serta permohonan geran penyelidikan antarabangsa.
Perbincangan turut merangkumi cadangan penghantaran pelajar STIE Bangkinang ke USIM menerusi program mobiliti keluar yang dapat memberikan pendedahan terhadap pengalaman pembelajaran antarabangsa, pembangunan kepimpinan, pertukaran budaya dan pengayaan akademik.
Prof. Dr. Nuradli menyambut baik cadangan tersebut dan berpandangan bahawa kerjasama strategik antara USIM, STIE Bangkinang dan UNILAK berpotensi memperkukuh jaringan akademik, meningkatkan penghasilan penyelidikan berkualiti serta memperluas peluang mobiliti kepada pensyarah dan pelajar dari Malaysia serta Indonesia.
“Kerjasama ini berpotensi membentuk ekosistem akademik yang mampan melalui perkongsian kepakaran, penyelidikan bersama serta peningkatan mobiliti pelajar dan ahli akademik antara kedua-dua negara,” katanya.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi USIM untuk memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, memperkukuh ekosistem penyelidikan serta melonjakkan kecemerlangan akademik di peringkat global melalui kolaborasi strategik bersama institusi pengajian tinggi di rantau ASEAN.
