KUALA LUMPUR – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih Anugerah Pembentangan Terbaik menerusi projek FaST Lab STEM Innovation: Experiential Learning for Young Learners pada Konvensyen Inovatif dan Kreatif Universiti Awam Ke-18 yang berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dari 4 hingga 6 Ogos 2026.
Pasukan Al-Qumra yang mewakili Fakulti Sains dan Teknologi (FST) USIM diketuai oleh Pengerusi Unit FaST Lab, Prof. Madya Dr. Nur Athirah M. Taib dan terdiri daripada 10 ahli FST. Manakala Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof. Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Hj. Mohamad Isa pula bertindak sebagai fasilitator pasukan.
Menurut Prof. Madya Dr. Nur Athirah, projek tersebut mengetengahkan transformasi pendekatan pengajaran dan pembelajaran STEM berasaskan pengalaman (experiential learning) dengan menggunakan bahan yang mudah diperoleh.
“FaST Lab STEM Innovation: Experiential Learning for Young Learners merupakan satu transformasi pendekatan pengajaran dan pembelajaran STEM berasaskan pengalaman dengan menggunakan bahan mudah diperoleh bagi meningkatkan kefahaman konseptual dan penguasaan kemahiran saintifik,” katanya.
Projek berkenaan dilaksanakan menerusi ekosistem FaST Lab yang merangkumi Kit Sains, Modul atau Bengkel Interaktif, Demonstrasi Saintifik dan Kem Sains bagi membantu meningkatkan kefahaman konseptual serta penguasaan kemahiran saintifik dalam kalangan pelajar.
Inisiatif itu dibangunkan bagi menangani beberapa cabaran dalam pendidikan STEM termasuk kekurangan bahan amali, kekangan masa guru, kos penyediaan makmal serta tahap minat pelajar terhadap bidang STEM.
“Nilai tambah ini menjadikan FaST Lab lebih daripada sekadar kit STEM. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman konsep melalui pengalaman langsung, malah menggalakkan kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran kritis, kolaborasi dan komunikasi,” katanya.
Pendekatan tersebut turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti menerusi penyediaan pendidikan STEM yang inklusif dan berkualiti.
Ia turut menyokong SDG 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur menerusi pemupukan budaya inovasi dan penyelidikan sejak peringkat sekolah serta SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat melalui pengukuhan jaringan antara universiti dan komuniti.
Prof. Madya Dr. Nur Athirah berkata lagi, pasukan Al-Qumra menjalani persediaan secara konsisten menerusi latihan pembentangan, termasuk hampir setiap hari menjelang pertandingan.
“Latihan berkenaan membantu pasukan memperkemas penyampaian, menyelaraskan peranan setiap ahli serta meningkatkan keyakinan dan keserasian dalam kalangan anggota kumpulan”.
Kesungguhan, disiplin dan kerjasama erat dalam kalangan ahli kumpulan, selain sokongan berterusan daripada pihak universiti dan FST, menjadi antara faktor yang membantu pasukan memberikan pembentangan terbaik sehingga berjaya meraih pengiktirafan tersebut.
Mengulas kejayaan itu, Prof. Madya Dr. Nur Athirah menyifatkan pengiktirafan berkenaan bukan sekadar satu pencapaian, sebaliknya hasil usaha, komitmen dan kerjasama seluruh ahli kumpulan serta sokongan pihak universiti dan FST.
“Kejayaan ini menjadi satu suntikan semangat kepada kami untuk terus memperkukuh dan mengembangkan inisiatif FaST Lab,” katanya.
Beliau berharap projek berkenaan dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah dan komuniti di Malaysia, selain dibawa ke peringkat antarabangsa sebagai platform untuk memperkenalkan pendekatan pendidikan STEM berasaskan pengalaman dan inovasi.
Konvensyen Inovatif dan Kreatif Universiti Awam Ke-18 yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan 53 kumpulan daripada 19 universiti awam bagi mengetengahkan pelbagai idea dan inovasi dalam memperkukuh budaya kreativiti serta penyelesaian masalah dalam kalangan warga institusi pendidikan tinggi.
Penganjuran konvensyen tersebut bukan sahaja menjadi medan pertandingan, malah membuka ruang kepada universiti awam untuk berkongsi hasil inovasi, bertukar kepakaran dan mengetengahkan idea yang berpotensi memberikan manfaat kepada masyarakat serta pembangunan negara.
Oleh Aina Farzana Azrul Anuar , Insyiraah Hussin
