NILAI – Integrasi ilmu fiqh dan perkembangan sains dalam amalan pergigian menjadi fokus utama International Conference of Fiqh Dentistry (ICFD) 2026 anjuran Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang berlangsung pada 8 hingga 9 Ogos 2026 baru-baru ini.

Persidangan bertemakan “Dental Fiqh and Professional Practice: Bridging Faith and Science” itu menghimpunkan hampir 300 peserta terdiri daripada pakar pergigian, pengamal klinikal, ahli akademik, penyelidik serta pelajar pascasiswazah dan prasiswazah.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM, Prof. Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Hj. Mohamad Isa berkata, perkembangan pesat bidang pergigian moden perlu diseimbangkan dengan prinsip syariah dan etika bagi memastikan kemajuan sains terus berteraskan nilai Islam.

Menurut beliau, kemajuan dalam rawatan klinikal, penggunaan biomaterial, teknik pembedahan ortognatik, kecerdasan buatan (AI) dan pergigian digital sedang mengubah landskap bidang pergigian serta memerlukan penelitian daripada perspektif Islam.

“Sains memberikan kita keupayaan untuk merawat, namun fiqh menyediakan batas etika, kebijaksanaan dan keselarasan moral bagi memastikan amalan kita terus mencapai tujuan sebenar memelihara kesejahteraan manusia atau Maqasid al-Syariah,” katanya ketika berucap pada perasmian ICFD 2026.

Beliau berkata, persidangan berkenaan menjadi jambatan yang menghubungkan kepakaran dalam bidang pergigian dengan ilmu Islam, khususnya dalam menangani cabaran kontemporari yang timbul daripada perkembangan teknologi dan amalan klinikal.

“Dalam tempoh dua hari ini, persidangan akan mengupas wacana kritikal yang memberi kesan secara langsung kepada amalan pergigian seharian dengan memberi perhatian kepada hubungan antara fatwa dan realiti klinikal,” katanya.

Menurutnya, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan umat Islam menerima perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi tanpa mengabaikan pegangan agama dan spiritual.

ICFD 2026 turut menghimpunkan delegasi dan penceramah antarabangsa khususnya dari Indonesia, termasuk Universitas Airlangga, Universitas Sumatera Utara dan Institut Ilmu Kesehatan Bhakti Wiyata, sekali gus memperluas ruang perkongsian ilmu dan kerjasama akademik merentas sempadan.

Penganjuran ICFD 2026 turut menyaksikan pelancaran edisi pertama E-Buku Prosiding Persidangan dan buku akademik Fakulti Pergigian hasil penulisan pensyarah fakulti yang diterbitkan oleh Penerbit USIM.

Prof. Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam berkata, penerbitan berkenaan merupakan hasil penyelidikan akademik, pengalaman klinikal serta penelitian terhadap ilmu fiqh dalam bidang pergigian yang boleh menjadi rujukan kepada pelajar, ahli akademik dan pengamal pergigian.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pergigian USIM, Dr. Ainuddin Yushar Yusof berkata, penganjuran persidangan berkenaan mencerminkan komitmen fakulti dalam memperluas perbincangan berkaitan amalan pergigian yang mengambil kira aspek etika dan pematuhan syariah.

Beliau berkata, kejayaan menghimpunkan pakar tempatan dan antarabangsa merupakan hasil dedikasi serta sinergi seluruh jawatankuasa penganjur yang diketuai Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Aspalilah Alias bersama unit saintifik, logistik, protokol, penajaan dan pendaftaran.

“Usaha anda telah membawa Fakulti Pergigian ke persada global dalam wacana perubatan antara disiplin dan sebagai Dekan, saya amat berbangga dengan pasukan ini,” katanya.

Menurut Dr. Ainuddin, penglibatan delegasi antarabangsa turut meningkatkan kualiti wacana persidangan, selain memperkukuh usaha meningkatkan standard etika dan pematuhan syariah dalam amalan pergigian global.

Beliau berkata, penerbitan buku akademik Fakulti Pergigian turut membuktikan peranan ahli akademik dalam menjana ilmu baharu yang berimpak, khususnya pada persilangan antara agama dan sains.

Beliau berharap sesi dialog, simposium dan jaringan sepanjang persidangan dapat mencetuskan idea baharu, memperluas kerjasama penyelidikan serta menghasilkan penyelesaian praktikal yang boleh dimanfaatkan dalam amalan klinikal, selaras dengan aspirasi USIM untuk memperkukuh integrasi ilmu Naqli dan Aqli.

 

Oleh: Muhammad Akmal Zuhdi, Aina Farzana, Iqbal Ilyas