NILAI – Ketidakupayaan fizikal pada kedua-dua kaki sejak lahir tidak menghalang Nor Muhammad Haziq Muhammad Noor, 21, untuk melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Anak ketiga daripada lapan beradik yang berasal dari Temerloh, Pahang itu sebelum ini menamatkan pengajian Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Pekan sebelum memilih bidang Komunikasi sebagai langkah membina keyakinan diri dan kemahiran berinteraksi.
Haziq berkata, sokongan rakan-rakan dan individu di sekeliling banyak membantunya menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai pelajar serta menguruskan cabaran harian.
“Sepanjang saya belajar memang agak susah untuk menguruskan diri sendiri, tetapi alhamdulillah saya dikelilingi orang-orang yang baik dan banyak membantu dalam urusan belajar serta kehidupan di asrama,” katanya.
Walaupun pada awalnya berminat mengikuti bidang agama, beliau memilih komunikasi kerana mahu meningkatkan keyakinan diri dan belajar berinteraksi dengan lebih baik bersama masyarakat.
“Saya memilih bidang komunikasi kerana mahu meningkatkan keyakinan diri dan belajar berkomunikasi dengan lebih baik supaya lebih mudah bergaul dengan masyarakat pada masa akan datang,” tambahnya lagi.
Bagi Haziq, kemahiran komunikasi yang bakal dipelajari bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan akademik, malah menjadi bekalan untuk membina keyakinan dan mempersiapkan diri menghadapi kehidupan selepas tamat pengajian.
Beliau merupakan anak kepada seorang guru yang mengajar Matematik dan Sains di Sekolah Menengah Jengka 18, Maran, manakala ibunya seorang suri rumah.
Dengan sokongan keluarga dan masyarakat di sekeliling, Haziq berhasrat memanfaatkan peluang pengajian di USIM untuk terus mengembangkan potensi diri serta meningkatkan keyakinan dalam berkomunikasi.
Langkah Haziq ke menara gading membuktikan bahawa keterbatasan fizikal tidak harus mengehadkan seseorang daripada mengejar pendidikan tinggi, sebaliknya keberanian mencuba dan kesediaan mengembangkan potensi diri mampu membuka ruang kepada masa depan yang lebih baik.
Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar

