NILAI – Kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental dan kesejahteraan mahasiswa terus diberi perhatian menerusi penganjuran Mental Health Awareness (MeHASS) Festival 2026 pada 16 hingga 17 Oktober lalu.
Festival di bawah program Fi Qalbi itu mengetengahkan pelbagai aktiviti kesihatan, rekreasi, kreativiti dan penglibatan komuniti kampus sebagai salah satu pengisian selaras dengan Program Pemacu Lonjakan Ketiga Amanat Naib Canselor USIM 2026 dalam membentuk mahasiswa yang seimbang dari aspek intelektual, fizikal, emosi dan sosial.
Penganjuran oleh Bahagian Psikologi dan Kaunseling (BPSiK), Pusat Hal Ehwal Pelajar (PHEP), USIM dengan penglibatan Kelab Pembimbing Rakan Universiti (PRU) itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan mental dan fizikal, mengurangkan stigma serta menggalakkan mahasiswa mendapatkan maklumat dan sokongan yang bersesuaian.
Festival berkenaan dirasmikan oleh Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, dan berlangsung selama dua hari dengan pelbagai pengisian termasuk MeHASS Fun Run, Karnival Siswa, ujian psikologi, pemeriksaan dan pameran kesihatan, kempen derma darah, e-sukan, Jualan Rahmah, gerai jualan serta pameran seni.
Pengarah MeHASS Festival, Adam Shauqi bin Suhaili, 21, dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat berkata, kesedaran mengenai kesihatan mental perlu melangkaui penyampaian maklumat dengan membentuk masyarakat yang lebih memahami dan prihatin terhadap individu yang berdepan cabaran emosi.
“Kesihatan mental bukanlah sesuatu yang seharusnya dipendam atau dihadapi secara bersendirian, sebaliknya kita perlu membina persekitaran yang membolehkan setiap individu berasa selamat untuk berkongsi pengalaman dan mendapatkan sokongan tanpa takut dihakimi,” katanya.
Beliau berkata, kesedaran dan pemahaman masyarakat penting dalam mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan mental serta mewujudkan persekitaran yang menggalakkan individu mendapatkan sokongan tanpa rasa takut atau malu.
Antara tarikan utama festival ialah MeHASS Fun Run, larian sejauh lima kilometer yang membawa peserta mengelilingi kawasan kampus sebagai medium menggalakkan gaya hidup aktif, interaksi sosial dan penglibatan komuniti dalam meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental.
Larian yang disertai staf, mahasiswa dan orang awam itu turut menampilkan medal rasmi MeHASS Fun Run 2026 Green Ribbon sebagai simbol kesedaran dan sokongan terhadap kesihatan mental.
Penganjuran MeHASS Festival 2026 diharapkan dapat menyemarakkan budaya prihatin dalam kalangan warga universiti serta memperkukuh sokongan terhadap kesejahteraan mental mahasiswa melalui penglibatan aktif komuniti kampus.
Menerusi pendekatan Integrasi Ilmu yang menggabungkan pengetahuan profesional dengan nilai dan akhlak Islam, usaha ini turut menyokong pembentukan mahasiswa sebagai Muslim Profesional yang seimbang, berempati dan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan diri serta masyarakat.
Oleh: Amiera Soraya Mad Rosdhi

