NILAI  – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh budaya kecemerlangan akademik menerusi sambutan Hari Akademia USIM 2026 yang mengangkat tema “Sinergi Ilmu, Teknologi dan Inovasi dalam Akademia” sebagai wadah menghargai sumbangan warga akademik dalam pengajaran dan pembelajaran.

Sambutan yang berlangsung hari ini di Dewan Kuliah Utama Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM itu dirasmikan oleh Dato’ Zulkifli Jafar, Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) USIM, dengan penyertaan kira-kira 250 warga akademik universiti.

Hari Akademia USIM anjuran Pusat Kecemerlangan dan Pembelajaran (CETL) ini merupakan acara tahunan yang menjadi platform untuk menghimpunkan warga akademik tanpa mengira fakulti, jawatan dan bidang kepakaran, selain mengeratkan hubungan serta meraikan pencapaian dan sumbangan mereka dalam pembangunan akademik universiti.

Antara pengisian utama sambutan ialah penyampaian Anugerah Rekabentuk Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran Tahun 2026 sebagai pengiktirafan kepada ahli akademik yang menunjukkan kecemerlangan dalam menghasilkan pendekatan inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran.

Kategori Pengajaran Transformatif dirangkul oleh Prof. Madya Dr. Izlawanie Muhammad pensyarah dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat, kategori Pentaksiran Alternatif dirangkul oleh Dr. Karmila Hanim Kamil pensyarah dari Fakulti Sains dan Teknologi. Manakala kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif Bersemuka dirangkul oleh Dr. Kartini Kamaruzzaman Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif Maya pula dirangkul oleh Prof. Madya Dr. Mohd Rosmizi Abd Rahman juga pensyarah dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, dan kategori Pengalaman Pembelajaran Imersif Teradun dirangkul oleh Dr. Khadijah Muda dari Pusat Pengajian Teras.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM, Prof. Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh berkata, kecemerlangan akademik memerlukan kerjasama berterusan semua pihak dalam memastikan mutu pendidikan tinggi terus berkembang selaras dengan perubahan semasa.

“Cabaran pendidikan masa kini terutamanya dalam penguasaan ilmu, kemahiran teknologi dan inovasi perlu relevan dengan perkembangan semasa bagi mengelakkan kakitangan akademik tidak ketinggalan dengan perubahan pendidikan tinggi global,” katanya.

Beliau berkata, warga akademik USIM perlu terus meningkatkan profesionalisme secara berintegriti selaras dengan konsep integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang menjadi asas kewujudan universiti.

“Tema ‘Sinergi Ilmu, Teknologi dan Inovasi dalam Akademia’ memperlihatkan keperluan untuk semua kakitangan akademik bersedia membuat anjakan paradigma agar terus kompeten dan relevan dalam pendidikan tinggi,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, pengiktirafan menerusi Anugerah Rekabentuk Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran turut menjadi salah satu inisiatif untuk menggalakkan warga akademik USIM terus mencapai kecemerlangan secara konsisten.

Penganjuran Hari Akademia pada tahun ini turut memberi penekanan kepada penerapan teknologi dan inovasi dalam memperkayakan pengalaman pembelajaran mahasiswa, selaras dengan perubahan keperluan pendidikan tinggi serta perkembangan teknologi semasa.

Dalam persekitaran pendidikan tinggi yang sentiasa berubah, peranan pensyarah turut berkembang daripada penyampai ilmu kepada pemudah cara yang membentuk pengalaman pembelajaran mahasiswa. Justeru, inovasi dalam pedagogi, pentaksiran dan pengalaman pembelajaran menjadi antara aspek penting bagi memastikan pendidikan kekal relevan.

Dalam pada itu, turut dilancarkan empat Sistem Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran Terkini iaitu Micro-credential, e NILAI V2, Taalim dan SULAM.

Sambutan ini turut menjadi ruang untuk menghargai dedikasi warga akademik yang terus menyumbang kepada pembangunan ilmu, pembentukan mahasiswa serta kemajuan universiti.