NILAI – Pertukaran ilmu dan budaya antara pelajar Malaysia dan Indonesia menjadi tumpuan 12th Islamic Global School Network (IGSN) 2026 yang menghimpunkan 61 peserta dari Indonesia bersama 22 pelajar Kolej Permata Insan (KPI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Program bertemakan “United Through Learning: From Classrooms to the World” yang berlangsung dari 5 hingga 11 Oktober 2026 itu dianjurkan USIM ‘Alamiyyah bagi memperkukuh jaringan pendidikan antarabangsa menerusi perkongsian ilmu, pertukaran budaya dan pengalaman pembelajaran.
Peserta dari Indonesia terdiri daripada pelajar dan guru pengiring daripada institusi pendidikan termasuk Madrasah Aliyah Negeri (MAN) 2 Kota Malang, MAN 3 Pekanbaru, MAN 2 Tulungagung dan Thursina.
Berpusat di kampus USIM, program turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai persekitaran pendidikan tinggi, sejarah dan warisan Malaysia menerusi lawatan pendidikan dan kebudayaan ke Putrajaya, Kuala Lumpur serta Melaka.
Majlis pembukaan program disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM, Prof. Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, di Dewan Utama, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM.
Menurut beliau, pendidikan perlu membentuk generasi yang bukan sahaja menguasai ilmu, tetapi turut mempunyai nilai, sahsiah, etika dan rasa tanggungjawab sebagai warga global.
“Pendidikan perlu melahirkan individu yang bukan sahaja berpengetahuan, malah memiliki nilai, sahsiah, etika dan rasa tanggungjawab sebagai warga global,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan Integrasi Ilmu yang menggabungkan ilmu Naqli dan Aqli turut menekankan hubungan antara penguasaan ilmu dengan nilai serta tanggungjawab kepada masyarakat.
“Pendekatan ini selaras dengan semangat IGSN 2026 yang menggalakkan kecemerlangan akademik, integrasi nilai Islam, pembangunan kepimpinan, inovasi dan pertukaran budaya,” katanya.
Sepanjang tujuh hari program, peserta mengikuti pelbagai aktiviti akademik dan pembangunan diri termasuk lawatan kampus, pengenalan kepada fakulti serta kemudahan universiti, bengkel akademik dan aktiviti dinamika berkumpulan.
Program turut menampilkan Olympiad Matematik dan Sains, pertandingan debat, inovasi serta penulisan esei, yang memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan pengetahuan, mengetengahkan idea dan membina keyakinan dalam suasana pembelajaran yang kompetitif.
Selain pengisian akademik, persembahan kebudayaan menjadi ruang kepada peserta dari kedua-dua negara berkongsi tradisi dan identiti masing-masing, sekali gus menggalakkan persefahaman serta membina hubungan persahabatan merentasi sempadan.
Program mencapai kemuncaknya menerusi Majlis Penutupan dan Malam Kebudayaan pada 10 Oktober 2026 di Dewan Utama FPBU, USIM yang menampilkan persembahan kebudayaan serta meraikan pengalaman peserta sepanjang program.
Pelaksanaan program turut disokong oleh USIM ‘Alamiyyah Global Buddies bagi membantu penyelarasan aktiviti serta interaksi peserta sepanjang program.
IGSN 2026 bukan sahaja menyediakan ruang pembelajaran di luar bilik darjah, malah memperluas perspektif peserta melalui pengalaman berinteraksi dengan komuniti, memahami budaya berbeza serta membina kemahiran komunikasi dan kerjasama.
Prof. Dato’ Dr. Nik Salida Suhaila turut berharap para peserta membawa pulang pengalaman yang lebih bermakna daripada sekadar kenangan perjalanan.
“Harapan saya, para peserta dapat membawa pulang bukan sekadar cenderamata dari Malaysia, tetapi juga ilmu pengetahuan, kenangan, persahabatan, pengalaman dan inspirasi yang akan terus memperkaya perjalanan pendidikan mereka,” katanya.
Oleh: Muhamad Luqman Hakim Mohd Nazri


