NILAI – Pelajar Sains Seni Bina, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih empat pengiktirafan dalam PAM Annual Architecture Student Works Exhibition (PAASWE 2026) yang berlangsung pada 14 hingga 18 Oktober 2026 di 1 Utama Shopping Centre, Petaling Jaya, Selangor.
Empat pengiktirafan tersebut melibatkan tempat pertama bagi Ergonomic Chair Design Competition dan Booth Design Competition, tempat ketiga bagi Metamorphosis Costume Challenge serta hadiah saguhati bagi Team Sketching Competition.
Pencapaian itu melibatkan seramai 39 pelajar FKAB yang mengetengahkan kepelbagaian bakat dalam lakaran, reka bentuk perabot dan kostum serta pengolahan ruang pameran menerusi hasil yang berteraskan kreativiti dan pendekatan futuristik.
Bertemakan “Architecture Intelligence: Technology Meets Creativity”, PAASWE 2026 menjadi platform kepada pelajar seni bina untuk mempamerkan hasil kerja, berkongsi idea serta menguji kemahiran dalam pelbagai pertandingan berkaitan reka bentuk dan kreativiti.
Penyertaan dalam pertandingan berkenaan turut memberi ruang kepada pelajar mengaplikasikan pengetahuan teknikal dan kemahiran reka bentuk dalam situasi yang lebih kompetitif, selain menggalakkan mereka menghasilkan penyelesaian yang kreatif dan inovatif.
Penglibatan dalam PAASWE 2026 turut memberi pendedahan kepada pelajar terhadap suasana profesional bidang seni bina serta membuka ruang interaksi dan jaringan bersama komuniti serta pemain industri.
Pencapaian tersebut juga mencerminkan usaha pelajar mengintegrasikan kemahiran profesional, kreativiti dan pemikiran reka bentuk dalam menghasilkan karya yang mempunyai nilai fungsi serta estetika.
Selaras dengan aspirasi Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli, penyertaan dalam platform sebegini turut memberi ruang kepada mahasiswa mengembangkan ilmu profesional secara seimbang bersama nilai, etika dan tanggungjawab dalam menghasilkan reka bentuk yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Kejayaan ini diharapkan dapat meningkatkan keyakinan pelajar serta menyemarakkan budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan mahasiswa, sekali gus mendorong penglibatan lebih aktif dalam pertandingan dan platform profesional bidang seni bina pada masa akan datang.
Oleh: Iqbal Ilyas Mohd Nordin

