KUALA LUMPUR, 21 Oktober 2026 – Gerakan Pengguna Siswa (GPS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima Geran Ihsan Food Bank (i-FB) berjumlah RM30,000 daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membantu meringankan beban kos sara hidup mahasiswa, khususnya golongan yang memerlukan.
Penyerahan geran tersebut berlangsung sempena Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa (MPGPS) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang diadakan dari 19 hingga 21 Oktober 2026 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur.
Majlis penutup MPGPS 2026 disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd Ali.
MPGPS 2026 menghimpunkan seramai 200 peserta GPS daripada 100 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara sebagai platform memperkukuh peranan mahasiswa dalam meningkatkan kesedaran kepenggunaan serta membudayakan amalan pengguna yang bijak dan bertanggungjawab.
Antara pengisian program termasuk Cabaran Eksplorasi GPS, lawatan lapangan bersama penguat kuasa KPDN, sesi perkongsian ilmu, GPS Idea Lab serta penyerahan Geran Ihsan Food Bank (i-FB).
Presiden GPS USIM, Abdul Khaliq bin Abdul Kadir berkata, penerimaan geran tersebut diharap dapat memberikan manfaat kepada mahasiswa yang berdepan cabaran kos sara hidup.
“Peruntukan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban kos sara hidup pelajar, khususnya golongan yang memerlukan, di samping memastikan kebajikan dan keperluan asas mereka terus terbela,” katanya.
Beliau turut menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai bukti keprihatinan KPDN dalam menyokong kesejahteraan mahasiswa, selain membantu memastikan pelajar dapat meneruskan pengajian dalam keadaan yang lebih selesa dan terjamin.
Penerimaan geran berkenaan akan dimanfaatkan bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif Ihsan Food Bank di USIM, khususnya dalam membantu mahasiswa mendapatkan keperluan asas sepanjang tempoh pengajian.
Selaras dengan tema MPGPS 2026, “Kita Pengguna: Suara Kita, Kuasa Kita”, program tersebut turut membuka ruang kepada mahasiswa memperluas jaringan kerjasama serta memainkan peranan lebih aktif dalam memperjuangkan kepentingan dan kebajikan pengguna.
Geran berjumlah RM30,000 itu menjadi pemangkin kepada GPS USIM untuk terus memperkasa inisiatif kebajikan mahasiswa, di samping menyokong usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih sejahtera dan prihatin terhadap keperluan pelajar.
Oleh: Muhammad Faiz Azmi

