NILAI – Seramai 17 pelajar antarabangsa daripada lima institusi pengajian tinggi menyertai International Leadership Mobility Program Siri 2/2026, program flagship Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), yang berlangsung dari 25 Oktober hingga 1 November 2026.

Program tersebut menghimpunkan peserta daripada Islamic University of Maldives, Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Universitas Islam Negeri Sultan Aji Muhammad Idris Samarinda, Universitas Muhammadiyah Jakarta dan Universitas Muhammadiyah Yogyakarta, sekali gus menjadi platform pertukaran ilmu, pengalaman dan budaya dalam kalangan mahasiswa antarabangsa.

Program yang memberi penekanan kepada pembangunan kepimpinan, kecemerlangan akademik dan pengukuhan hubungan antara institusi pendidikan tinggi itu turut membuka ruang kepada peserta untuk mengenali persekitaran akademik USIM serta berinteraksi secara langsung dengan warga FKP.

Dekan FKP, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, berkata peserta perlu memanfaatkan sepenuhnya setiap pengisian yang disediakan sepanjang program, termasuk peluang membina hubungan awal dengan warga akademik FKP.

“Saya juga mengalu-alukan semua peserta untuk menyambung pengajian di sini dan perkenalan awal dengan para akademik di FKP mungkin akan membantu semua peserta untuk menyambung pengajian di sini,” katanya.

Antara pengisian utama program ialah modul A Way Forward: Students as Future Leaders yang disampaikan oleh Dr. Hayati Ismail, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), serta Research Proposal Development Workshop yang dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Nur Kareelawati Abd Karim dari FKP.

Peserta turut memperkukuh kemahiran komunikasi dan kepimpinan menerusi Public Speaking Workshop & Oratory Challenge yang dikendalikan oleh Encik Muhammad Zaki Mustafa, selain menyertai International Competition on Global Student Leadership yang diselaraskan oleh Profesor Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor.

Pengalaman akademik peserta turut diperkaya menerusi aktiviti sit-in class bersama pensyarah dan mahasiswa FKP bagi tiga kursus, iaitu Introduction to Fiqhul Islam, Film and TV Studies serta Renewal Movement in Islam, yang memberi peluang kepada peserta merasai pengalaman pembelajaran dalam persekitaran akademik USIM dan berkongsi perspektif dengan mahasiswa daripada latar belakang berbeza.

Selain pengisian akademik, peserta turut dibawa menyertai aktiviti khidmat masyarakat menerusi modul Leadership in Service: International Student Community Engagement di Madrasah Ibnu Mas’ud, sekali gus memberi pendedahan kepada mereka tentang kepimpinan berteraskan khidmat, empati dan tanggungjawab sosial.

Menurut salah seorang peserta, Nazima Naseem, pelajar Sarjana dari Islamic University of Maldives (IUM), penyertaan dalam program tersebut memberikan pengalaman bermakna, khususnya dari segi hubungan yang terjalin antara peserta antarabangsa dan urus setia mahasiswa USIM.

“Ini merupakan penyertaan saya kali kedua dalam program ini dan banyak pengalaman yang saya peroleh. Apa yang lebih penting ialah hubungan baik antara semua peserta dan urus setia pelajar yang begitu komited menemani serta membantu kami sepanjang program,” katanya.

Penganjuran International Leadership Mobility Program ini mencerminkan komitmen FKP dalam memperluas peluang mobiliti mahasiswa dan memperkukuh jaringan antarabangsa melalui pengalaman pembelajaran rentas budaya yang holistik.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2025, program tersebut telah berjaya menghimpunkan kira-kira 80 peserta daripada pelbagai institusi pengajian tinggi antarabangsa, sekali gus memperkukuh peranan FKP dalam membina hubungan akademik global serta menyediakan platform pembangunan kepimpinan mahasiswa di peringkat antarabangsa.