PUTRAJAYA – Pasukan mahasiswa Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya merangkul pingat emas menerusi produk inovasi RONA 5 Lantern Heritage pada penyertaan sulung mereka dalam pertandingan DICE 4.0 sempena Putrajaya Festival of Ideas (Putrajaya FOI) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dari 17 hingga 19 November 2026 baru-baru ini.
Kemenangan tersebut diraih menerusi penghasilan produk reka bentuk yang diinspirasikan daripada pemerhatian terhadap alam ciptaan Allah, antaranya motif Bunga Raya yang diterjemahkan secara kreatif menjadi lima motif reka bentuk utama.
Pertandingan DICE 4.0 merupakan antara program utama dalam rangkaian Putrajaya FOI 2026 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mengangkat tema “Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”.
Penyertaan pasukan USIM ini turut diperkukuh melalui bimbingan mentor, Dr. Madihah Mat Idris bersama kolaborasi strategik pihak industri bagi merealisasikan konsep reka bentuk produk tersebut sehingga ke peringkat penghasilan sebenar.
Dari aspek teknikal, pembangunan produk yang bermula daripada satu motif asas itu dihasilkan menggunakan perisian AutoCAD sebelum diproses melalui teknologi LaserCAD bersama syarikat kolaborasi, AB Art Trading.
Selain menguji kemahiran teknikal dan pematuhan spesifikasi, penyertaan ini turut melatih kematangan keusahawanan mahasiswa dalam menguruskan pendaftaran syarikat di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), urusan hak cipta, serta kemahiran pembentangan (pitching) bagi menerangkan nilai komersial produk kepada bakal pelanggan.
Mentor pasukan, Dr. Madihah Mat Idris berkata, kejayaan tersebut merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan memandangkan pasukan berdepan kekangan jadual akademik seperti sesi kritikan (crit) dan penghantaran tugasan seni bina sepanjang tempoh persediaan.
“Alhamdulillah kita berjaya mencapai kemenangan ini dan insya-Allah jika ada rezeki pada tahun hadapan, kita akan tambah baik lagi,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama pelbagai pihak yang menyumbang kepada kejayaan kontinjen universiti, termasuk Kelab Media USIM yang turut berjaya merangkul pelbagai anugerah dalam pertandingan DICE 4.0.
Pencapaian ini sekali gus membuka ruang kepada USIM untuk terus memperkasakan persediaan mahasiswa pada masa hadapan menerusi pengukuhan kolaborasi industri dan rakan universiti dalam melahirkan graduan holistik berdaya inovasi tinggi.
Oleh: Emir El- Abqariy Kamarul Azmi


