NILAI, 21 NOV 2015 – Universiti Sains Islam Malaysia melakar 15 tahun kecemerlangan pada tahun 2015 sebagai sebuah universiti awam yang berteraskan ilmu Naqli dan Aqli. Bersempena sambutan tersebut, beberapa program yang menggambarkan citra kecemerlangan USIM disusun dan dilaksanakan pada tahun 2015. Pusat Kebudayaan mengambilkira saranan dan pandangan universiti khususnya YBhg. Dato’ Naib Canselor USIM yang mengaspirasikan sebuah penganjuran seni budaya Islam yang boleh dihayati dan dipersembahkan kepada Tuanku Canselor bersempena dengan Sambutan 15 Tahun penubuhan USIM.

Konsert Alhan Rabbaniyah yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor dibanjiri oleh 2000 penonton ini merupakan program anjuran bersama USIM dan Istana Budaya dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Radio Televisyen Malaysia serta Utusan Malaysia sebagai media rasmi pada konsert ini. Sebahagian daripada hasil dari kutipan tiket pada malam ini akan disumbangkan kepada Persatuan Kebajikan Al-Fikrah Malaysia yang merupakan bada kebajikan berdaftar dibawah JKM yang menempatkan penghuni lelaki dan wanita dikalangan pesakit kronik, warga emas serta terdampar tanpa pewaris.

Alhan Rabbaniyah adalah satu persembahan pentas yang berkonsepkan Muzikal Theatrical yang menggambarkan penceritaan mengenai proses kehidupan dan kematian seorang manusia bermula dengan kelahiran seterusnya menjalani kehidupan dan berakhir dengan kepulangannya kepada Penciptanya.

Penceritaan Alhan Rabbaniyah akan dipersembahkan dalam bentuk bacaan syair, gurindam, gerak kreatif, lagu, puisi, dan nazam. Setiap segmen mempunyai jalan cerita tersendiri dan saling berhubung kait diantara segmen dengan segmen yang lain. Pengisiannya mengangkat empat tema utama dan setiap tema merangkumi 4 segmen persembahan iaitu Ibu Bapa,  Ilmu, Rasulullah dan Ketuhanan.

Konsert Alhan Rabbaniyah adalah konsert yang bersifat serantau yang menggabungkan 3 artis utama bertaraf antarabangsa dari 3 negara iaitu Sharifah Khasif dari Malaysia, Ramli Sarip dari Singapura dan Opick dari Indonesia. Selain itu, turut menampilkan barisan artis tempatan Roslan Madun, Zehra Zambri dan Adinda Amiro serta barisan Urus Setia Kesenian Pelajar USIM iaitu USIM Vokal Ensemble, Perkusirama, Fansuri, ATRA, Hanif Jalil dan Faiz Aziz. Istimewanya pada malam ini juga, Konsert Alhan Rabbaniyah akan diiringi sepenuhnya oleh Orkestra Tradisional Malaysia dari Istana Budaya di bawah bimbingan En Yazid Zakaria.

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud, Canselor USIM dan YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Pro Canselor USIM serta tetamu kehormat yang lain.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204