NILAI, 7 NOV 2015 – Kejayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melahirkan 2,502 graduan pada Majlis Konvokesyen Ke-13 baru-baru ini merupakan satu titik permulaan graduan berperanan sebagai duta USIM bagi membawa identiti dan nama baik universiti sebaik sahaja melangkah keluar dengan berbekalkan ijazah yang diperolehi.
“Bertekadlah untuk menjadi anak yang berbakti, rakyat yang bermanfaat dan pemimpin yang menjunjung nilai murni, demi menyebarkan kesejahteraan dalam kehidupan. Dengan adanya semangat yang tinggi, para graduan mampu menjadi pendukung kepada perubahan sealiran dengan perjalanan masa,” titah Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, Canselor USIM dalam istiadat pembukaan Majlis Konvokesyen Ke-13 di Dewan Tuanku Canselor.
Pada majlis itu, Mohd Taqwudin Mohd Yazid, 24, dengan PNGK 3.82 dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama dianugerahkan Anugerah Pelajaran DiRaja(Pingat Jaya Cemerlang). Ketokohannya terserlah apabila pernah memegang jawatan di Biro Pembangunan Akademik dan Intelektual Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi Akademik 2013/2014 malah turut mewakili USIM dan Malaysia ke beberapa program kepimpinan peringkat antarabangsa seperti The 5th University Scholars Leadership Symposium, di Phnom Penh, Kemboja dan The 2nd ASEAN Future Leader Summit di Malaysia-Thailand.
Kepetahan beliau dalam berbahasa Arab membolehkan beliau mewakili USIM-Malaysia dalam Maal Hijrah Arabic Debate Championship 2014 dan ASEAN Arabic Debate Championship 2015. Berbekalkan penguasaan Bahasa Inggeris yang baik, beliau telah mengikuti Latihan Industri Antarabangsa di Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam.
Beliau kini telah dilantik menjadi Felo siswazah di Fakulti Pengajian Bahasa Utama dan sedang bersiap sedia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Linguistik Gunaan Bahasa Arab di Universiti Kebangsaan Malaysia.
“Perasaan gembira dan terharu sukar digambarkan apabila melihat kegembiraan terpancar di wajah kedua ibu bapa saya yang paling banyak memberi sokongan dalam bentuk material, kewangan dan sokongan moral. Alhamdulillah, usaha selama 4 tahun berbayar,” jelas Mohd Taqwudin yang bercita-cita menjadi pensyarah Bahasa Arab.
Bagi Mohd Amarul Arif Mohd Shuhaimi, 25, dengan PNGK 3.81 dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan pula kecemerlangannya bukan sahaja di bidang akademik, malah turut terlibat secara aktif berpersatuan antaranya pernah menjadi Presiden Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan sesi 2013/2014, Presiden Young Muslim Leaders of the Future (YMLF) USIM, Ketua Pembantu Urusetia Minggu Orientasi Pelajar Sarjana Muda 2013 malah beliau tampil kehadapan dalam bidang pengacaraan antaranya di Festival Seni Islam USIM 2014, Konsert Senandung Buatmu Gaza sempena Konvensyen Keusahawanan Islam ke-10 dan Seminar Antarabangsa Seni Dalam Pembangunan Manusia Pada Era Moden 2015.
“Anugerah ini merupakan hadiah saya kepada kedua ibu bapa saya atas jasa dan dorongan yang diberikan malah bantuan dari semua pihak adalah penyumbang utama kejayaan saya ini. Kejayaan ini tidak akan terhenti di sini, saya akan terus meningkatkan potensi diri baik dari sudut pendidikan, kemahiran mahupun kerjaya agar dapat berkhidmat pula kepada ibu dan ayah tercinta, keluarga, agama serta negara,” ujar Mohd Amarul yang turut menerima Anugerah Pelajaran DiRaja.
Mereka kedua-duanya menerima segulung watikah, sebuah medal dan wang tunai sebanyak RM5,000.00 yang disempurnakan oleh Tuanku Canselor USIM.
Pada majlis yang sama Anugerah Canselor (Sarjana Muda) dianugerahkan kepada Sa’adah Zainal, 3.88 dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan Mohammad M. Mohd Alghlailat, Fakulti Syariah dan Undang-undang (Sarjana) berdasarkan kecemerlangan yang ditunjukkan dalam hal ehwal akademik dan sosial. Sementara itu, Noor Faradzela Mohamad, 3.67 dari Fakulti Pergigian menerima Pingat Emas Naib Canselor.
Turut diberi penghargaan adalah kepada seorang graduan penerima Augerah Khas Yayasan Tun Azmi, seorang graduan penerima Anugerah Khas Kecemerlangan Muamalat Dato’ Dr Abdul Halim Ismail, seorang graduan penerima Anugerah Khas Malaysian Press Institute, seorang graduan penerima Anugerah Khas Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, seorang graduan penerima Anugerah Khas PERKAMA International diikuti sebanyak 5 graduan penerima Hadiah Buku Universiti, 8 graduan penerima Hadiah Buku Fakulti dan 8 orang penerima Hadiah Ko-Kurikulum.
Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204