NILAI, 6 JULAI 2015 – Pelajar Tamhidi Sains dan Teknologi (Pra-Universiti/Matrikulasi) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Putri Nur Nadia binti Bakri, 18 mengharumkan nama Malaysia dan Universiti apabila muncul johan dalam Majlis Musabaqah Menghafaz Al-Quran Beserta Pemahamannya Peringkat Negara Anggota MABIMS 1436H.
Pertandingan yang berlangsung di Brunei Darusslam bermula 30 Jun hingga 3 Julai lalu bertempat di Dewan Musyawwarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Beliau yang bertanding kategori Menghafaz Juz 10 Al-Quran serta Pemahaman Juz 7 berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai BND4000, piala dan sijil penghargaan.
Pada tahu ini, seramai lapan peserta terdiri daripada empat lelaki dan empat perempuan daripada negara-negara MABIMS iaitu Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura. Ia mempertandingkan dua kategori iaitu Menghafaz Juz 10 Al-Quran serta Pemahaman Juz 7 dan Menghafaz Juz 30 serta Pemahaman Juz 20 yang turut diungguli wakil Malaysia, Farihah Zulkifli, 20 pelajar Darul Quran JAKIM.
Putri Nur Nadia yang ditemui sekembalinya ke Malaysia mengucapkan rasa syukur atas kemenangan ini kerana mendapat saingan hebat daripada para peserta MABIMS lain.
“Ini merupakan kali pertama saya mewakili Malaysia untuk pertandingan hafazan antarabangsa dan berasa amat gembira dapat mengharumkan nama negara. Terima kasih kepada kedua ibu-bapa banyak membantu semasa latihan hafazan sebelum ke pertandingan ini“.
“Saya mula menghafaz 30 juz Al-Quran semasa berada di Tingkatan Satu Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Tekonologi Istana Bandar (MITIB), Jugra Selangor. Petua yang saya amalkan supaya mudah dan menjaga hafazan adalah sentiasa konsisten mengulang hafalan dan ikhlaskn hati membaca Al-Quran. Ibu juga amat menjaga pemakanan saya antaranya mengelakkan makanan berunsur syubhah” ujarnya.
Musabaqah ini dianjurkan bertujuan untuk membantu visi dan misi MABIMS di samping mewujudkan kerjasama di kalangan negara anggota MABIMS dalam bidang pengajian dan penyebaran Al-Quran.
Melaluinya juga, ia dapat mengeratkan jalinan hubungan integrase terutama dalam bidang Al-Quran dalam menyatukan perpaduan ummad melalui Al-Quran yang merupakan sumber kejayaan dan kegemilangan di dunia dan akhirat serta merangsang generasi muda dan belia ke arah penerimaan Al-Quran dari aspek penjagaan hafazan dan penghayatan kitab suci ini.
Majlis penyampaian hadiah dan penutup Musabaqah ini telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darusslam pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Brunei Darussalam pada 3 Julai.
Putri Nur Nadia sebelum ini telah menjuarai pertandingan hafazan di Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-36 dalam kategori 1-20 juzuk pada Mac lalu.
Disediakan oleh:
Zaini Othman
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204