NILAI, 9 Jun – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) merakamkan ucapan takziah dan rasa sedih atas pemergian pensyarah bahasa Arab di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) iaitu Allahyarham Dr. Ahmad Pangidoan Nasution, 58 pada Ahad malam.
Allahyarham merupakan antara pensyarah terawal menabur bakti di USIM (dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Malaysia, KUIM) bermula pada tahun 2003. Allahyarham yang berkelulusan Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab dan Sastera, Universiti Islam Madinah (1987); Sarjana Bahasa Arab Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), (1996) dan Doktor Falsafah dalam Pengajian Bahasa Arab Fonetik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2002.
Jawatan terakhir Allahyarham di USIM selain sebagai seorang pensyarah adalah Ketua Program Bahasa Arab di FPBU sejak 2010. Semenjak pertengahan Februari lalu, beliau berada dalam keadaan separa sedar selepas mendapat serangan strok. Allahyarham dilaporkan mengalami sesak nafas di kediamannya pada Ahad petang dan dibawa ahli keluarga ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.15 malam.
Antara sumbangan besar Allahyarham dalam perkembangan Bahasa Arab di peringkat pengajian tinggi ialah menjadi antara tulang belakang utama membawa Debat Bahasa Arab untuk dipertandingkan kali pertama dalam Debat Diraja antara Universiti pada 2006 di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Selain itu, beliau turut menjadi penggerak dan rujukan dalam aspek kehakiman kepada penganjuran Debat Bahasa Arab Instusi Pengajian Tinggi ASEAN (2005-2014) dan Debat Bahasa Arab Sekolah Menengah Kementerian Pendidikan (2008-2014) anjuran USIM.
Atas baktinya itu, beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Hakim Berjasa (Bahasa Arab) oleh Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (MADUM) pada 2010. Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Darul Ehsan, Kg. Kubu Gajah, Sungai Buloh Selangor pada Isnin kira-kira jam 10.00 pagi. Turut sama menyertai solat jenazah adalah Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad bersama Pengurusan Kanan Universiti, kakitangan Fakulti dan pelajar.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Asniwati Hasmoni, 52 dan empat (4) orang anak. Sesungguhnya pemergian beliau sangatlah dirasai oleh warga USIM yang masih terkenangkan budi bahasa beliau yang amat tinggi, sepadan dengan limu dan pengalaman yang beliau miliki. Al-Fatihah
Disediakan oleh:
Zaini Othman
PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204