NILAI, 8 MEI 2015 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melancarkan program USIM’s Environmental Awareness and Sustainability Campaign (USIMBIOSIS) 2015 bertemakan Living Together pada semalam di kampusnya.

Kempen ini mendapat sokongan TESCO Malaysia yang menyumbangkan sebanyak 50 buah pokok untuk ditanam di sekitar kampus dengan 20 buah pokok awal telah ditanam secara rasmi pada majlis ini berhampiran Dewan Kuliah Pusat 3.

Pada majlis penanaman pokok ini, TESCO yang diwakili Dato’ Azlam Shah Alias, Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Kerajaan dan Puan Lee Ann bersama-sama menyerati aktiviti ini dengan Pengurusan USIM antaranya Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Zulkiple Abd Ghani dan Pengerusi  Jawatankuasa Kelestarian dan Kesedaran Alam Sekitar USIM, Prof. Madya Dr. Awangku Abdul Rahman Awangku Yussuf.

Turut serta memberi sokongan dalam program ini adalah Jabatan Alam Sekitar dan Perbadanan Sisa Pepejal yang menyumbangkan beberapa unit tong sampah kitar semula yang diperbuat daripada kertas untuk ditempatkan di lokasi strategik dalam kampus.

Menyedari kelestarian dan kesedaran alam sekitar merupakan usaha ke arah membina semangat dalam memupuk bangsa yang aktif menjaga alam sekitar, USIMBIOSIS adalah pendekatan proaktif diambil oleh Universiti. Mewujudkan kampus lestari adalah permulaan untuk USIM menerajui aspek kelestarian dan kesedaran alam sekitar di Malaysia umumnya dan Negeri Sembilan khususnya.

USIM yang kali pertama menyertai penilaian UI-Greenmetric World University Ranking pada tahun lalu yang memfokuskan penilaian terhadap kelestarian kampus dan pengurusan persekitaran telah mendapat kedudukan 235 daripada 360 buah universiti dari 62 buah negara yang menyertai.

“Ini memberi indikasi bahawa aspek penambahbaikan kelestarian dan pengurusan alam sekitar kampus yang diambil seperti pembersihan tasik, mewujudkan trek jogging dan berbasikal di sekitar kampus memberi impak positif”.

“Inisiatif baharu juga telah dilaksanakan secara serius ke arah mewujudkan kelestarian kampus yang lebih baik antaranya mengurangkan penggunaan elektrik sehingga 5% setiap tahun secara berperingkat, menjalankan soal selidik mengenai kelestarian alam sekitar di kalangan warga  Universiti dan mengurangkan penggunaan polisterin dan beg plastik di dalam kampus”.

“Selain itu, kita turut memulakan kempen 4R iaitu Reduce, Reuse, Recycle and Restore, menggunakan tong sampah lutsinar kitar semula dan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik melalui penggunaan tenaga alternatif iaitu kuasa solar di beberapa lokasi tertentu seperti perhentian bas” kata Naib Canselor.

Kelestarian dan kesedaran alam sekitar memerlukan unsur outreach supaya ia mampu meluaskan radius kesedaran mengenai alam sekitar. Justeru itu, USIM turut mengambil peranan memperkasakan jaringan kerjasama dengan komuniti-komuniti sekitar kampus bagi memberi kesedaran untuk menghargai dan menjaga alam sekitar ini.

Disediakan oleh:

Zaini Othman

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204