NILAI – Keterbatasan pendengaran tidak menghalang Syaza Athirah Sailan @ Sazali, 27, dari Muar, Johor, untuk menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Pengajian Quran dan Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam tempoh tiga tahun, malah kejayaan itu turut melayakkan beliau menerima Anugerah Khas Yayasan FAQEH sempena Majlis Konvokesyen ke-24 USIM hari ini.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu melalui perjalanan pengajian yang mencabar, namun keterbatasan yang dimiliki tidak pernah memadamkan semangatnya untuk terus menuntut ilmu dan mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburinya.

Sepanjang pengajian, sokongan penyelia, Prof. Madya Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhamad dan Dr. Mohd Nur Adzam Rasi, turut menjadi antara kekuatan yang membantu beliau meneruskan pengajian dengan lebih yakin tanpa tekanan yang berlebihan.

Bagi Syaza, sokongan persekitaran akademik yang memahami keperluan pelajar OKU amat penting bagi memastikan mereka mempunyai ruang untuk berkembang dan mencapai potensi masing-masing.

Selain pencapaian akademik, Syaza turut menerima Anugerah Khas Yayasan FAQEH sebagai pengiktirafan atas sumbangannya dalam memperkasakan pendidikan al-Quran dan fardu ain bagi komuniti Orang Kurang Upaya (OKU).

Antara sumbangan yang dilakukannya ialah penglibatan dalam bahasa isyarat bacaan al-Quran sempena Majlis Konvokesyen USIM 2026, sekali gus membuka ruang kepada komuniti OKU pendengaran untuk turut menghayati dan mempelajari al-Quran melalui pendekatan yang lebih inklusif.

Usaha tersebut bukan sahaja mencerminkan pencapaian peribadi Syaza, malah membawa mesej bahawa pendidikan al-Quran boleh disampaikan melalui pelbagai pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan setiap individu.

Mengimbas perjalanan yang dilaluinya, Syaza mengakui kejayaan tersebut tidak hadir dengan mudah, namun setiap cabaran menjadi dorongan untuk terus melangkah dan tidak berputus asa.

“Kepada sesiapa yang dalam perjuangan yang sama, jangan putus asa walaupun rasa keseorangan,” katanya.

Kisah Syaza membuktikan bahawa keterbatasan bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan, sebaliknya dengan sokongan yang tepat, ketabahan dan keazaman, golongan OKU juga mampu mencipta pencapaian serta memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.

Kejayaan beliau turut memperlihatkan kepentingan mewujudkan ekosistem pendidikan yang inklusif agar setiap mahasiswa, tanpa mengira keupayaan, diberikan peluang untuk mengembangkan potensi dan menyumbang melalui ilmu yang dimiliki.

 

Oleh: Eizza Anis Nafiesha Ag Ghani