KUALA LUMPUR-  Seramai 48 orang pelajar USIM dari Kelab Suruhanjaya Pencegah Rasuah, Kolej Kediaman dan Pihak Pengurusan Tertinggi Universiti yang diketuai oleh Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Pendaftar USIM serta beberapa orang pegawai dan kakitangan USIM  turun padang mengagihkan 100 bungkusan makanan kepada golongan gelandangan di sekitar ibu kota tersebut pada  11 Mei yang lalu.

Program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar itu turut mendapat kerjasama daripada pihak Anjung Singgah dan juga merupakan salah satu aktiviti daripada Program Transformasi Kepimpinan Mahasiswa (PTKM) yang telah dilancarkan pada tahun lalu.

Menurut peneraju program Encik Azar Aziz, objektif utama program ini dianjurkan adalah untuk menanam sikap prihatin di dalam diri mahasiswa. Tambah beliau lagi, program ini adalah kali yang pertama diadakan bagi semester ini dan ianya akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang.

Aktiviti dimulakan dengan sesi taklimat kepada para peserta oleh pihak Anjung Singgah sebelum dibahagikan kepada dua kumpulan bagi acara agihan makanan kepada golongan gelandangan. Dua kumpulan tersebut dibahagikan mengikut zon perjalanan 1 dan 2 yang meliputi sekitar Kota Raya, Masjid India, Jalan TAR, Dataran Merdeka dan Masjid Negara.

“Ini merupakan sejarah luar biasa dalam hidup saya pada hari ini”, kata Naib Canselor ketika memberi ucapan kepada para peserta program. Tambahnya lagi, program seperti ini memberi keinsafan dalam diri dan sebagai rakyat Malaysia, beliau bersyukur kerana hidup dalam negara yang aman dan damai ini.

Dalam pada itu, Nor Farha binti Zubair, pelajar tahun tiga dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat(FEM) pula mengatakan bahawa program ini lain daripada yang lain. Beliau yang juga merupakan exco Jawatankuasa Peralihan Perwakilan Pelajar (JKPPP)berkata mahasiswa pada hari ini perlu lebih banyak melibatkan diri dalam program seperti ini supaya mereka lebih berfikiran terbuka di dalam segala aspek.

Program berakhir pada jam 2 pagi dan secara keseluruhanya para peserta merasa bangga dan gembira dengan program yang dianjurkan.

Oleh: EB Mardiah Abdullah & EB Suhaida Sawi