NILAI – Hasrat seorang graduan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), untuk meraikan hari bersejarah bersama ibu bapanya hampir bertukar menjadi detik cemas apabila kedua-dua mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya di Muar, Johor, semalam.
Ketika kejadian, Nur Badzlina Abdul Muis, 25, yang sedang dalam perjalanan dari Kelantan bersama suaminya, Raja Hassrullah Raja Hussin, 25, hanya mengetahui mengenai kemalangan itu sekitar tengah hari selepas menghubungi ibunya, Maizura Sentot, 47, dengan kenderaan yang dinaiki ibunya bersama bapanya, Abdul Muis Mahidin, 60, dilaporkan dirempuh sebuah lori di Lebuhraya PLUS, Tangkak-Muar arah utara.
Perkhabaran itu sememangnya mencetuskan kebimbangan buat Nur Badzlina memandangkan konvokesyen bakal berlangsung keesokan harinya dan kehadiran kedua-dua ibu bapanya merupakan antara perkara yang paling dinantikannya pada hari tersebut.
Namun, kebimbangan itu bertukar menjadi kesyukuran selepas beliau mendapat tahu kedua-dua ibu bapanya selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.
“Mula-mula bila dapat tahu berita itu, sudah tentu rasa terkejut dan risau kerana esoknya hari konvokesyen dan kita mahu kedua-dua ibu bapa ada bersama kita,” katanya.
Bagi Nur Badzlina, keselamatan ibu bapanya jauh lebih penting daripada kerosakan kenderaan yang dialami.
“Bagi saya, kehadiran mereka dengan selamat sudah cukup baik dan kenderaan yang rosak itu tidak mengapa kerana boleh dicari ganti,” jelasnya.
Urusan perjalanan kedua-dua ibu bapanya ke USIM akhirnya dipermudahkan apabila seorang kenalan tampil meminjamkan kenderaan bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan ke Nilai dan bersama-sama meraikan kejayaan Nur Badzlina.
Mengimbau kembali perjalanan sehingga bergelar graduan, Nur Badzlina menyifatkan doa dan pengorbanan ibu bapa sebagai antara kekuatan terbesar yang membawanya mencapai kejayaan.
“Nasihat saya, kita dapat sampai ke tahap ini pun semuanya adalah berkat doa serta pengorbanan ibu bapa kita,” ujarnya.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada mahasiswa agar tidak mudah berputus asa apabila berdepan perkara di luar jangkaan, sebaliknya terus menghayati setiap proses dan mencari hikmah di sebalik setiap ujian.
Bagi Nur Badzlina, detik cemas yang berlaku sehari sebelum konvokesyen akhirnya menjadi satu kenangan yang tidak mungkin dilupakan bukan kerana kemalangan yang berlaku, tetapi kerana beliau tetap dapat meraikan kejayaan bersama insan yang paling bermakna dalam perjalanan hidup dan pendidikannya.
Oleh: Nur Khadija Sulaiman