NILAI – Sarat mengandung tujuh bulan bukan penghalang buat bekas pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Rani A/P Sagaran, 36, untuk menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD), meskipun terpaksa membahagikan masa antara kerjaya, keluarga dan pengajian separuh masa selama enam tahun.
Dr. Rani yang kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan Anatomi di Quest International University, Ipoh, Perak, menerima Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sains dan Teknologi daripada Fakulti Pergigian USIM pada Majlis Konvokesyen USIM.
Pengajian beliau yang bermula pada tahun 2020 memberi tumpuan kepada bidang Antropologi Forensik (Forensic Anthropology) di bawah seliaan Prof. Dr. Aspalilah Alias dari Fakulti Pergigian USIM bersama penyelia bersama.
Berpengalaman selama 12 tahun sebagai pensyarah anatomi, Dr. Rani mengakui perjalanan menamatkan pengajian sambil menguruskan kerjaya dan keluarga bukan sesuatu yang mudah, malah terdapat ketika beliau hampir berputus asa.
“Ketika saya menerima tawaran ini pada tahun 2020, anak sulung saya baru berusia setahun lebih. Dengan beban kerja yang amat tinggi di tempat kerja, komitmen keluarga serta pengajian PhD secara separuh masa, ia sememangnya satu cabaran yang besar hingga saya pernah berasa mahu berputus asa,” katanya.
Namun, sokongan daripada suami, keluarga serta barisan penyelia menjadi kekuatan utama yang membantunya terus bertahan sehingga berjaya menamatkan pengajian.
“Bagaimanapun, saya sangat berterima kasih kepada penyelia utama dan penyelia bersama saya yang amat memahami serta sentiasa memberikan dorongan moral dan motivasi. Sokongan hebat daripada suami, keluarga dan barisan penyelia inilah yang menjadi tulang belakang kejayaan PhD saya,” katanya ketika ditemui pada majlis konvokesyen tersebut.
Bagi Dr. Rani, USIM bukan sekadar tempat beliau menuntut ilmu, malah mempunyai nilai sentimental kerana pernah berkhidmat sebagai Pensyarah Anatomi di universiti berkenaan selama lima tahun, dari 2014 hingga 2019, sebelum berpindah ke Kedah mengikut suaminya.
Mengimbau kembali pengalaman sebagai warga akademik USIM, beliau menyifatkan persekitaran kerja di universiti itu sebagai inklusif, harmoni dan penuh sokongan tanpa mengira latar belakang.
“USIM ialah sebuah tempat yang sangat istimewa bagi saya. Walaupun pada awalnya saya tertanya-tanya bagaimana penerimaan warga universiti kerana saya antara sebilangan kecil staf bukan Bumiputera di fakulti ketika itu, hakikatnya layanan yang diberikan amat mesra dan penuh rasa hormat.
“Para pelajar begitu merendah diri dan rakan sekerja sentiasa menyokong. Saya amat merindui suasana persekitaran kerja yang harmoni di USIM,” ujarnya.
Menurutnya, melengkapkan pengajian di peringkat tertinggi bukan sekadar untuk mendapatkan segulung ijazah, sebaliknya merupakan sebahagian daripada tuntutan profesionalisme bagi warga pendidik dalam bidang pendidikan tinggi.
Mengakhiri perkongsian, Dr. Rani menitipkan pesanan kepada mahasiswa USIM agar tidak mudah berputus asa dalam mengejar cita-cita, sebaliknya terus berdisiplin dan cekal menghadapi setiap cabaran dalam menuntut ilmu.
“Pengajian PhD bukan sekadar untuk segulung ijazah, sebaliknya ia mengajar erti konsistensi, disiplin dan kesabaran yang tinggi. Walau apa jua rintangan atau kesulitan yang dihadapi, tumpukan perhatian kepada matlamat kerana pendidikan adalah satu-satunya instrumen terbaik untuk kita membuka ruang kejayaan di dunia,” katanya.
Kisah Dr. Rani membuktikan bahawa perjalanan menuntut ilmu tidak mengenal batas usia, keadaan atau tanggungjawab. Dengan disiplin, kesabaran serta sokongan insan sekeliling, impian untuk mencapai tahap akademik tertinggi tetap mampu direalisasikan walaupun terpaksa melalui perjalanan yang panjang dan penuh cabaran.
Oleh: Siti Nur Insyiraah Sh Hussin and Nur Khadija Sulaiman